Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini telah mengumumkan aplikasi KitaJaga, sebuah platform yang digerakkan oleh komuniti bagi membolehkan pengguna di Malaysia membuat semakan dan membandingkan harga barangan keperluan harian.
Usaha ini merupakan sebahagian dari pemantapan kuasa pengguna dalam membuat keputusan mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih wajar.
Menurut laporan Malay Mail, aplikasi ini menggunakan data sumber terbuka dari OpenDOSM dan merupakan usaha kolaboratif di antara Kementerian Ekonomi dengan pihak pembangun KitaJaga. Aplikasi ini juga kini sudah pun boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store.
Encik Rafizi Ramli turut menjelaskan pihak kementeriannya akan memulakan dengan barangan keperluan harian memandangkan kenaikan harga barangan tertumpu pada kategori ini. Di masa akan datang, pihaknya akan meluaskan ke kategori-kategori lain untuk pengguna.
Tambah beliau lagi, KitaJaga dibangunkan secara sukarela dan pihak kementeriannya juga merancang untuk bekerjasama dengan pemegang taruh e-dagang lain bagi memperluaskan mekanisme semakan harga sedia ada.













