Sedang kebanyakan peranti-peranti mula beralih ke arah ketersambungan Wi-Fi 6, kini Wi-Fi 7 pula telah mula diperkatakan. MediaTek telah mengumunmkan pihaknya akan mengadakan demonstrasi secara langsung teknologi Wi-Fi 7 yang pertama di dunia melalui cipset Filogic.

Wi-Fi 7 atau juga dikenali sebagai IEEE 802.11be kini sedang dibangunkan oleh Wi-Fi Alliance. Dijangkakan, spesifikasi lengkap Wi-Fi 7 akan diterbitkan pada 2024.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang MediaTek untuk mempertontonkan teknologi berkenaan. Pengeluar semikonduktor dari Taiwan ini juga merancang unuk melancarkan cip dengan sokongan sambungan Wi-Fi 7 menjelang 2023.

Demonstrasi MediaTek ini juga dijangka akan mengetengahkan teknologi Filogic dalam mencapai kelajuan tertinggi untuk Wi-Fi 7.MediaTek Filogic

Ia juga akan memperkenalkan fungsi baharu multi-link operation (MLO) yang bertujuan mengagregat saluran pada pelbagai frekuensi berbeza secara serentak. Ini seterusnya membolehkan aliran trafik yang lebih stabil walau di dalam keadaan terdapat interferens dan kesesakan di dalam sesebuah jalur.

Wi-Fi 7 akan menggunakan seluruh spektrum yang ada di dalam sebuah Wi-Fi, termasuklah 2.4GHz, 5GHz dan 6GHz.

Dijangkakan, kelajuan yang dibawakan olehnya adalah 2.4 kali lebih pantas berbanding Wi-Fi 6 walaupun menggunakan jumlah antena yang sama. Faktor ini disokong oleh peningkatan lebar jalur dari 160MHz pada Wi-Fi 6 dan Wi-Fi 6E pada 320MHz di dalam jalur 6GHz.

Ia juga dikatakan mampu membawakan kadar celus (throughput) sebanyak 30Gbps, berbanding Wi-Fi 5 yang menawarkan sehingga 3.5Gbps.

Naib Presiden Korporat MediaTek, Alan Hsu menyatakan teknologi Wi-Fi 7 ini kelak dijangkakan mampu menggantikan sambungan berwayar Ethernet.

Tinggalkan komentar