Saingan MediaTek terhadap penguasaan Qualcomm kian hangat apabila mengumumkan cipset mercu berkeupayaan 5G baharunya, Dimensity 9000.
Ia direka khusus untuk digunakan pada peranti-peranti mudah alih Android mercu, sesuatu yang amat jarang dilakukan oleh MediaTek selama ini.
MediaTek Dimensity 9000 merupakan cipset pertama yang dibina melalui proses pembuatan 4nm dari TSMC yang berasaskan senibina ARM baharu, v9. Cipset ini mengandungi satu teras 3.05Ghz Cortex-X2, tiga teras 2.85GHz Cortex-A710, empat teras bekecekapan tinggi 1.8GHz Cortex-A510 dan 10 teras GPU Mali-G710.
Dari segi kuasa pemprosesan kecerdasan buatan, cipset ini menampilkan enam teras APU generasi kelima baharunya. Ia didakwa menawarkan empat kali ganda peningkatan prestasi dan kecekapan tenaga berbanding keluaran yang terdahulu.
Cipset MediaTek ini juga mengandungi Imagiq Gen 7 18-bit, image signalling processor (ISP) yang pertama di dunia yang menyokong tangkapan imej sehingga 320MP dan kadar pemindahan data sehingga 9 gigapiksel per saat.
Untuk keupayaan videonya pula, encoder padanya mampu merakamkan video beresolusi sehingga 8K pada 30fps. Ia juga menyokong rakaman video 4K secara serentak pada tiga kamera yang berlainan. Serta turut menyediakan mod Super Night bagi tangkapan imej dalam keadaan kurang pencahayaan.
Dimensity 9000 juga menyediakan sokongan ketersambungan modem 5G melalui 3GPP, 3CC (menyokong kelajuan paut turun sehingga 7Gbps) dan MediaTek PowerSave bagi mempertingkatkan kecekapan pengguna bateri.
Sungguhpun ia dibina berasaskan modem mmWave pertama MediaTek, cipset ini hanya menyokong ketersambungan 5G sub-6GHz buat masa ini. Selain itu, cip ini turut didakwa sebagai cipset pertama yang menyokong Bluetooth 5.3 dan Wi-Fi 6E.
Buat masa ini, MediaTek tidak menyatakan peranti pintar apa yang bakal dilengkapkan dengan cipset Dimensity 9000 ini. Dijangkakan, cipset ini mampu mencabar penguasaan Qualcomm di dalam arena peranti mercu.













