Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara rasminya telah menarik semula sekatan sementara terhadap chatbot kecerdasan buatan (AI) milik X, Grok.

Keputusan ini diumumkan selepas pihak X mengesahkan pelaksanaan langkah pencegahan dan keselamatan tambahan yang lebih ketat pada platform media sosial berkenaan.

Langkah sekatan tersebut dilaksanakan susulan penyalahgunaan keupayaan penjanaan imej Grok oleh pengguna platform tersebut untuk menghasilkan kandungan tidak senonoh melibatkan wanita dan kanak-kanak.

MCMC sebelum ini menyekat akses kepada chatbot tersebut atas alasan penyalahgunaan AI bagi menjana imej yang “lucah, eksplisit secara seksual, tidak senonoh, dan menyinggung perasaan,” termasuk kandungan manipulasi tanpa persetujuan.

Menurut kenyataan rasmi, satu pertemuan telah diadakan antara MCMC dan wakil X pada 21 Januari 2026 bagi mendapatkan penjelasan serta komitmen platform tersebut terhadap undang-undang Malaysia. Hasil perbincangan tersebut telah membawa kepada penyelesaian isu keselamatan kandungan yang dibangkitkan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan kepada Bernama pengguna tidak lagi boleh menyunting imej atau video untuk menghasilkan bahan lucah atau tidak sesuai, seperti yang berlaku sebelum ini.

Pihak suruhanjaya turut menegaskan aplikasi Grok akan terus dipantau demi keselamatan pengguna. Kegagalan mematuhi undang-undang Malaysia akan dikenakan tindakan tegas. Sebelum ini, Filipina turut dilaporkan telah menarik semula sekatan terhadap Grok selepas langkah serupa diambil .

Tinggalkan komentar