Maybank sebelum ini dilaporkan menjadi salah satu sasaran pencerobohan data yang berlaku baru-baru ini. Rentetan dari isu tersebut, satu siasatan telah dijalankan oleh pihak bank tersebut dan didapati apa yang didakwa sebagai data dari pengguna Maybank adalah tidak benar.
Berikut adalah kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak Maybank:
Following the conclusion of our investigation into the allegation by a third party regarding a purported customer data leak, Maybank can confirm that these claims are false. The Bank would like to reassure its customers that their data remains secure and private and that no customer data has been compromised. Maybank will continue to prioritise its cyber security and data protection measures as customer data protection is of utmost importance to the Bank.
Maybank menjamin data yang dikendalikannya adalah selamat dan tiada data pelanggan yang didapati telah diceroboh. Pihak bank berkenaan juga menegaskan pihaknya akan terus mengutamakan langkah-langkah keselamatan siber dan perlindungan data.
Berdasarkan sampel data yang ditunjukkan oleh penjual tersebut di forum dalam talian, pangkalan data yang kononnya dari “Maybank” tersebut, mengandungi 1.8 juta rekod merangkumi nama, angka 12-digit, nombor telefon dan alamat lengkap. Tiada sebarang maklumat berkaitan pembayaran atau log masuk seperti nama pengguna, kata laluan, atau nombor kad.
Jumaat lalu, Kementerian Komunikasi dan Digital telah mengeluarkan kenyataan yang menyebut pangkalan data yang tertiris tersebut mengandungi nombor akaun Maybank yang tidak sah. Oleh itu, nombor berkenaan tidak boleh digunakan untuk apa jua transaksi.
Pihak kementerian masih lagi menyiasat situasi pencerobohan data melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi dengan sokongan CyberSecurity Malaysia. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga telah diarahkan supaya menyekat akses ke laman web yang menawarkan pangkalan data tersebut.
Astro juga telah melancarkan siasatannya dan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada maklumat pelanggannya yang telah diceroboh.
Bagaimanapun, berbeza halnya dengan Telekom Malaysia yang telah mengesahkan lebih kurang 250,000 data peribadi pelanggan Unifi Mobile telah diceroboh. Data-data tersebut mengandungi nama, alamat emel dan nombor telefon. Pelanggan-pelanggan yang terkesan telah diberitahu menerusi emel.













