Malayan Banking Bhd (Maybank) kini sedang dalam persediaan untuk melancarkan sebuah aplikasi perbankan baharu sebagai sebahagian daripada pelan strategik lima tahun syarikat yang dikenali sebagai ROAR30.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan jejak digital serantau institusi kewangan tersebut, malah aplikasi ini juga dilihat berpotensi untuk menggantikan aplikasi mudah alih sedia ada mereka, iaitu MAE.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, langkah ini diambil bagi memastikan keupayaan teknologi bank tersebut dapat dipertingkatkan selaras dengan keperluan semasa. Beliau menjelaskan bahawa bank telah mengenal pasti beberapa bidang utama untuk penambahbaikan melalui sesi libat urus bersama pelanggan individu.
Dalam pada itu, pembangunan inisiatif digital masa hadapan bank tersebut akan dilaksanakan pada peringkat kumpulan dan serantau, dan tidak lagi disesuaikan mengikut pasaran individu secara berasingan.
Indonesia dijangka akan mengetuai pelaksanaan aplikasi baharu ini, mendahului pasaran di Malaysia dan Singapura. Pasukan pembangunan kini sedang memfokuskan kepada aplikasi berorientasikan runcit dan butiran lanjut mengenainya dijangka akan diumumkan pada tahun ini.
Untuk rekod, Maybank mempunyai sejarah evolusi aplikasi yang signifikan, bermula dengan aplikasi Maybank2u sebelum memperkenalkan MAE yang asalnya berkonsepkan e-dompet. MAE kemudiannya berkembang menjadi platform perbankan digital utama sehingga menyebabkan penamatan sokongan terhadap aplikasi Maybank2u pada 28 Ogos 2024.
Sehingga kini, aplikasi MAE telah mencatatkan jumlah pengguna seramai 10.7 juta dengan pegangan pasaran sebanyak 48%. Walaupun peralihan kepada aplikasi baharu mungkin memberi kesan kepada pengguna yang sudah selesa dengan sistem sedia ada, laporan media tempatan menyatakan bahawa masih terdapat kemungkinan aplikasi MAE tidak digantikan sepenuhnya, namun kepastian mengenainya hanya akan diketahui kelak.













