Maxis baru-baru ini telah mengumumkan para pelanggannya boleh mengakses ke rangkaian 5G di Singapura, Thailand, dan Indonesia apabila menggunakan perayauan (roaming) di sana. Pun begitu, para pelanggan syarikat telekomunikasi berkenaan masih lagi belum dapat menggunakan akses rangkaian 5G di Malaysia buat masa ini.

Menariknya, akses perayauan 5G ini turut ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan Hotlink. Maxis menyatakan tiada sebarang penetapan baharu bagi akses tersebut asalkan peranti yang digunakan menyokong 5G.

Pelanggan juga perlu menyambung akses perayauan ke rakan telekomunikasi Maxis yang betul ketika di negara-negara tersebut. Misalnya, pelanggan Maxis yang berada di Singapura perlu akses perayauan ke Singtel untuk rangkaian 5G ketika di Singapura. Manakala bagi Thailand dan Indonesia pula, para pelanggan perlu mengakses ke AIS dan Telkomsel, masing-masing.

Dari segi harga, tiada beza antara pas perayauan 4G biasa dengan 5G ini. Untuk Pascabayar Maxis dan juga Maxis Unlimited Postpaid & Fibre, ia berharga RM29 sehari melalui pas Unlimited Data di ketiga-tiga negara.

Para pelanggan juga boleh memilih pas 7 hari ASEAN Plus Unlimited Data yang berharga RM49. Atau pas 30 hari World Unlimited Data berharga RM99. Selain itu, terdapat juga pas DataRoam biasa yang berharga RM38 sehari dan mempunyai kuota data 500MB.

Pelanggan prabayar dan pascabayar Hotlink pula boleh menyambungkan ke 5G melalui Pas DataRoam sedia ada yang mempunyai kuota data 1GB berharga RM10 sehari.

Maxis memaklumkan akses ini mula ditawarkan sejak dari Jumaat baru-baru ini dan lebih banyak negara akan ditambah ke dalam senarai perayauan 5G tidak berapa lama lagi.

Malaysia disasarkan akan mula menawarkan rangkaian 5G pada Disember 2021 yang meliputi Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian Kuala Lumpur. Badan pelaksana rangkaian 5G negara, Digital Nasional Berhad berusaha untuk mencapai sekitar 40% liputan di kawasan berpenduduk pada hujung tahun depan dan 80% menjelang 2024.

Tinggalkan komentar