Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan diletakkan di bawah Kementerian Digital yang baharu diwujudkan, menurut menterinya Gobind Singh. Sebelum ini MAMPU diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“MAMPU ditempatkan di bawah kementerian kami,” ujar Gobind kepada Bernama ketika berkunjung di pejabat MAMPU di Kompleks Setia Perdana di Putrajaya pada Khamis, 14 Disember 2023.

Beliau hadir bersama dengan timbalan Datuk Ugak Anak Kumbong dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. Sesi taklimat ringkas berkenaan struktur dan organisasi MAMPU disampaikan oleh Ketua Pengarah Datuk Rodzi Md Saad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu telah mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang telah membahagikannya kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Gobind bagaimanapun menyatakan terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan dan diperhalusi dari segi terma skop kerja di bawah Kementerian Digital.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC Berhad dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (PDPA) ditempatkan di bawah Kementerian Digital.

Tinggalkan komentar