Malaysia buat masa ini agak kerap mengalami insiden kebocoran data yang diakibatkan oleh serangan siber dan juga kecuaian pengguna. Atas sebab itu, Malaysia kini berada di tangga ke-11 di dalam kedudukan negara-negara paling banyak insiden kebocoran data di dunia dalam tempoh suku kedua 2022.
Menurut syarikat keselamatan siber dan penyedia VPN Surfshark, lebih dari 665,200 akaun rakyat Malaysia telah diceroboh dalam tempoh dari April hingga Jun tahun ini. Peningkatan sebanyak 733% berbanding sukuan yang pertama tahun ini. Data ini adalah berdasarkan dari kebocoran 27,000 pangkalan data.
Penyelidik Data Surfshark, Cik Agneska Sablovskaja menyatakan sebanyak 64% akaun pengguna di Asia Tenggara telah terkesan dari kebocoran data tersebut. Bagaimanapun, di Malaysia terdapat 138% akaun telah mengalami kesan berkenaan. Tambah beliau lagi, berdasarkan statistik secara puratanya rakyat Malaysia telah terkesan dengan kebocoran data sekurang-kurangnya sekali.
Trend yang hampir sama turut berlaku di negara-negara Asia Timur menurut Surfshark. Bilangan pengguna yang mengalami kebocoran data di Jepun telah meningkat sebanyak 1,442% sepanjang tempoh sukuan yang terakhir dengan sejumlah 1.3 juta pengguna terkesan. China dan Korea Selatan juga menyaksikan peningkatan insiden kebocoran data pengguna dalam tempoh yang sama dengan masing-masing mencatatkan 1,092% dan 1,013%.
Anda boleh membuat semakan maklumat kebocoran data dengan mengunjungi Data Breach World Map. Halaman tersebut menjejaki jumlah kebocoran akaun sejak 2004. Bagi tempoh suku kedua 2022, Malaysia telah mencatatkan sejumlah 44.2 juta akaun yang telah dibocorkan. Menurut Surfshark, 31.4% dari akaun yang dibocorkan ini tidak dapat dikaitkan dengan negara atau lokasi penggunanya. Kemungkinan kebocoran data berdasarkan negara-negara adalah lebih tinggi dari kiraan semasa.













