Perniagaan telefon pintar Samsung tidak begitu memberangsangkan di pasaran Russia sekitar pertengahan tahun ini berikutan saingan sengit dari Xiaomi.

Pelancaran Galaxy M52 5G dan M22 di pasaran Russia baru-baru ini diharapkan mampu merapatkan jurang tersebut. Namun, Samsung kini berdepan dengan cabaran yang lebih dari itu.

Mahkamah di Russia dilaporkan telah mengeluarkan perintah larangan terhadap Samsung dari mengimport dan menjual 61 model telefon pintarnya di Russia.

Perintah ini dikeluarkan selepas SQWIN SA, sebuah syarikat dari Switzerland telah memfailkan saman berkaitan pelanggaran hak cipta platform Samsung Pay. Menurut fail saman tersebut, SQWIN SA mendakwa terdapat pelanggaran paten bagi sistem pembayaran elektronik yang didaftarkan oleh syarikat tersebut di Russia.

Larangan jualan 61 model telefon pintar Samsung di Russia

Menurut Reuters, saman tersebut telah difailkan awal tahun ini dan keputusan mahkamah telah diputuskan pada 27 Julai lepas. Ketika itu, tidak dijelaskan model telefon pintar mana yang terkesan dari dakwaan ini dan SQWIN SA telah memfailkan rayuan kepada mahkamah pada Ogos lalu dengan menunjukkan 61 model telefon pintar Samsung didakwa melanggar hak cipta tersebut.

Penguatkuasaan perintah mahkamah ini masih lagi belum dimulakan dan pihak mahkamah menjelaskan Samsung mempunyai hak untuk merayu dalam tempoh sebulan selepas perintah tersebut dikeluarkan.

Tinggalkan komentar