Barisan aksesori Apple MagSafe telah memperkenalkan sebuah lagi produk baharunya, MagSafe Battery Pack. Pek bateri ini membolehkan pengguna iPhone 12 mengecas peranti masing-masing dengan melekatkan pek tersebut pada bahagian belakang peranti.
Bagi anda yang akan membeli pek bateri ini, ia tidak akan didatangkan bersama-sama dengan sebarang kabel atau pengecasnya. Untuk mengecasnya, pengguna boleh melakukannya melalui port Lightning yang disediakan dengan menggunakan pengecas sekurang-kurangnya 20W.
Untuk menggunakannya, pek bateri ini akan mengecas iPhone anda pada kadar 5W. Dalam pada masa yang sama, pek tersebut juga boleh dicaskan sambil ia mengecas iPhone.
Berdasarkan maklumat yang disediakan di dalam laman web Apple Malaysia, MagSafe Battery Pack mempunyai kapasiti 1,460 mAh dengan kadar voltan 7.62V dan kadar penghantaran bekalan kuasa 11.13 Wj. Tidak dinyatakan berapa lama tempoh masa pek bateri berkenaan mampu mengecas sesebuah iPhone yang dilekatkan padanya.
Harga MagSafe Battery Pack di Malaysia ditetapkan pada RM 479 seunit dan sehingga kini, masih belum diketahui bilakah ia mula dijual di pasaran tempatan.













