Maybank telah tampil menjelaskan aplikasi perbankan mudah alih, MAE, tidak akan digantikan dengan sebarang aplikasi baharu.
Penjelasan ini dibuat bagi meleraikan kekeliruan yang timbul susulan laporan awal mengenai pembangunan platform baharu. Pihak bank menegaskan aplikasi sedia ada akan menerima siri-siri penambahbaikan untuk meningkatkan pengalaman pengguna.
Salah faham netizen ini timbul selepas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, menyentuh mengenai pembangunan “aplikasi baharu” semasa taklimat korporat pada 20 Januari 2026.
Kenyataan tersebut telah mencetuskan spekulasi Maybank mungkin sedang mempersiapkan platform berasingan yang berpotensi menggantikan MAE. Secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelanggan mengenai keperluan untuk melakukan migrasi akaun sekali lagi.
Hal ini kerana pada Ogos 2024, Maybank telah menamatkan sepenuhnya aplikasi Maybank2u dan mewajibkan semua pelanggan beralih ke platform MAE.
Susulan spekulasi terkini itu, ramai pengguna telah menyuarakan maklum balas negatif dan rasa kecewa terhadap kemungkinan perlu beralih ke aplikasi perbankan yang lain buat kali kedua dalam tempoh yang singkat.
Menurut jurucakap Maybank, istilah “aplikasi baharu” yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Khairussaleh sebenarnya merujuk kepada versi aplikasi MAE sedia ada yang telah dinaik taraf.
Pihak bank menjelaskan akan meningkatkan keupayaan MAE secara progresif dengan menambah fungsi-fungsi baharu dari semasa ke semasa, bukannya melancarkan aplikasi yang berasingan.
Walau bagaimanapun, Maybank tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai jenis ciri baharu yang akan diperkenalkan atau sejauh mana perubahan tersebut berbanding pengalaman penggunaan MAE masa kini.
Pihak bank juga tidak menetapkan garis masa khusus untuk pelancaran penambahbaikan ini, yang memberi isyarat bahawa kemas kini akan dilakukan secara berperingkat dan bukan melalui satu rombakan besar-besaran.
Maybank memberi jaminan MAE akan terus berfungsi sebagai aplikasi perbankan mudah alih utama pengguna dengan penambahbaikan inkremental yang dirancang pada masa hadapan.













