Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa secara rasminya telah melancarkan logo dan tema bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. Bagi tahun 2022, tema yang digunakan adalah Teguh Bersama dengan logo yang digunakan pada tahun ini mirip seperti simbol WiFi.

Logo Hari Kebangsaan untuk tahun ini berkonsepkan liputan internet yang menunjukkan pembangunan infrastruktur komunikasi dan pendigitalan bagi kemudahan rakyat. Ia mengandungi tiga jalur berwarna biru, kuning dan merah yang melambangkan Keluarga Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan latar belakang hidup secara harmoni di dalam negara kita.

Imej dari K-KOMM [Facebook]
Titik-titik antara pada setiap jalur pula melambangkan keterbukaan dalam meraikan kepelbagaian dan perbezaan demi kemajuan bersama. Manakala titik merah pada bahagian bawah pula melambangkan identiti dan semangat patriotik yang membentuk asas kedaulatan dan wawasan negara.

Hari Kebangsaan Malaysia disambut pada 31 Ogos setiap tahun dan pada tahun ini ia menandakan ulang tahun ke-65 kemerdekaan negara dari penjajahan British pada 1957. Kita juga menyambut Hari Malaysia pada 16 September pada setiap tahun bagi menyambut pembentukan Malaysia yang menggabungkan Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963.

Tinggalkan komentar