Lebih dari setahun selepas rancangan penggabungan di antara dua syarikat telekomunikasi utama di Malaysia, Celcom dan Digi kini selesai menjalankan proses penggabungannya.
Kebanyakan pengguna menjangkakan akan wujud satu nama baharu bagi entiti tersebut seperti ‘Celgi’, ‘Dicom’, ‘Celdi’, dan sebagainya. Namun, pada akhirnya kesemua pihak yang terlibat memilih nama gabungan ini sebagai Celcom Digi Berhad sahaja.
Selain nama baharu, penggabungan ini juga hadir dengan logo baharu yang selaras dengan namanya. Logo berkenaan menunjukkan gabungan nama kedua-dua syarikat yang bergabung tersebut dengan gaya huruf yang sama seperti logo asal masing-masing.
Berdasarkan laman soalan-soalan lazim yang dikongsikan di dalam laman web Celcom dan juga Digi buat masa ini, urusan pelanggan-pelanggan Celcom dan Digi yang sedia ada buat masa ini masih lagi berjalan seperti biasa.
Para pelanggan tidak perlu melakukan sebarang perubahan kerana perkhidmatan dan pelan masing-masing lagi kekal sama buat masa ini. Perkara ini turut melibatkan kedai fizikal seperti Celcom Blue Cube dan Digi Stores di seluruh negara yang masih beroperasi seperti biasa.
Laman yang sama juga menjelaskan CelcomDigi kini merancang untuk melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf infrastrukturnya bagi meningkatkan mutu rangkaiannya.













