Kuala Lumpur, 5 Mei 2025 – Krenovator Technology Sdn. Bhd. (“Krenovator”), sebuah firma yang membangunkan platform bakat teknologi berkuasakan AI dan menyediakan perkhidmatan penyumberan bakat mengumumkan bahawa ia telah memperoleh pembiayaan awal daripada Ignite Asia, sebuah firma modal teroka dan ekuiti persendirian di Singapura dan Malaysia. Jumlah pembiayaan tidak didedahkan, dan ia diperoleh secara rasmi pada awal 2025.
Ditubuhkan pada 2019, Krenovator telah berkembang menjadi platform bakat teknologi berkuasa AI popular yang menyediakan perkhidmatan IT kepada syarikat-syarikat perusahaan dalam sektor minyak dan gas, logistik, pembuatan, kewangan dan perbankan dan telekomunikasi. Krenovator kini mempunyai pelanggan di Malaysia, Timur Tengah dan Eropah.
Kekuatan Krenovator terletak pada strategi penyumberan bakat teknologinya yang canggih. Melalui platform berkuasa AI yang dibangunkan sendiri, ia mempunyai hampir 30,000 bakat teknologi mahir berdaftar, termasuk pembangun dan penguji perisian, penganalisis perniagaan dan saintis data, terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Daripada jumlah ini, Krenovator boleh dengan cekap kenal pasti dan pilih bakat terbaik untuk mana-mana projek pelanggannya. Keupayaan sebegini membuatkan Krenovator unik dalam industrinya dan faktor ini menarik syarikat-syarikat untuk menggunakan perkhidmatannya.
Pada masa yang sama, platform bakat teknologi berkuasa AI Krenovator terus berkembang dan berfungsi sebagai ekosistem yang bertenaga untuk profesional teknologi. Platform ini menawarkan kemudahan untuk tambah kemahiran kerjaya, berhubung dengan bakat-bakat lain, dan memupuk sebuah komuniti yang kukuh.
Mahadhir Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Krenovator, berkata, “Pembiayaan awal daripada Ignite Asia ini merupakan suatu validasi terhadap pendekatan unik Krenovator untuk menyelesaikan isu bakat teknologi. Platform kami beri kelebihan yang tiada tandingan dalam mendapatkan bakat teknologi terbaik di Asia Tenggara. Ini, digabungkan dengan pemahaman mendalam kami tentang IT demi memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggan. Pelaburan daripada Ignite Asia ini akan digunakan bagi memacu pembangunan platform kami, dan mengembangkan pasukan dan pasaran kami.”
Sementara itu, Jake Thui, naib presiden pelaburan di Ignite Asia berkata, “Kami kagum dengan pendekatan inovatif Krenovator terhadap landskap bakat teknologi. Platform dikuasakan AI dan tumpuan strategik mereka untuk dapatkan bakat terbaik untuk sokong keperluan IT, adalah sangat menarik. Kami percaya Krenovator berada pada kedudukan yang baik untuk terus berkembang di rantau ini, dan kami teruja dapat bersama mereka dalam perjalanan ini.”
Aktiviti teras Krenovator melibatkan penyumberan strategik dan memupuk lima peratus teratas bakat teknologi di Asia Tenggara untuk menyokong projek-projek IT. Sepanjang dua tahun yang lalu, Krenovator telah mengembangkan kumpulan bakatnya dengan ketara di Malaysia dan Indonesia kepada hampir 30,000 orang, mencapai kadar kepuasan pelanggan 98%, dan menggandakan jumlah pelanggannya daripada kategori syarikat tersenarai awam dan Fortune 500.
Kejayaan mereka mendapat pelanggan-pelangan dari luar Malaysia baru-baru ini menggariskan kepentingan pembiayaan awal daripada Ignite Asia ini untuk menampung pertumbuhan berterusan Krenovator.
Modal yang baharu diperoleh akan digunakan secara strategik untuk mengembangkan pasukan Krenovator dan meningkatkan usaha pemasaran dan jualannya.
“Untuk 12-18 bulan akan datang, kami mahu menggandakan pendapatan dan jumlah pelanggan. Kami juga merancang untuk perkenalkan perkhidmatan baharu, perkhidmatan IT lebih mendalam, dan servis Penguji Perisian atau “Software Tester as a Service”, semuanya berasaskan kekuatan teras kami dalam penyumberan bakat teknologi untuk memenuhi keperluan transformasi digital,” Mahadhir menerangkan.













