Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat penyebaran video berkaitan kes rogol berkumpulan yang melibatkan pelajar di sebuah sekolah di Melaka.
Tindakan ini diambil bagi melindungi kebajikan pelajar di bawah umur yang terlibat dan memastikan video tersebut tidak terus disebarkan kepada umum.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengesahkan permintaan tersebut dan menekankan kepentingan melindungi identiti pelajar yang terlibat.
“Kami telah meminta kementerian yang berkaitan untuk mengambil tindakan, bagi memastikan isu ini tidak disebarkan kerana ia melibatkan murid dan pelajar kita. Jadi, kami memohon pemahaman masyarakat bahawa mereka ini adalah kanak-kanak di bawah umur yang mesti dilindungi,” katanya semasa majlis penyerahan projek pembinaan SMK Bandar Baru Sungai Lalang di Kedah pada Sabtu.
Tiada kompromi
Beliau menegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi dan siasatan dalaman sedang dijalankan merangkumi semua aspek insiden tersebut, yang disifatkan sebagai kes yang sangat serius. Pelajar yang terlibat dalam kes ini telah ditahan oleh pihak berkuasa, manakala mangsa kini sedang menerima rawatan dan sokongan psikososial di hospital.
Menurut laporan, kejadian yang berlaku pada 2 Oktober lalu itu melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang didakwa dirogol oleh dua pelajar senior. Perbuatan itu dirakam dan disaksikan oleh dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah bilik darjah. Insiden tersebut terbongkar selepas video perbuatan tidak bermoral itu dikongsi dalam kalangan pelajar sebelum dilaporkan kepada guru dan ibu mangsa.
Susulan kejadian itu, KPM telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan semua aspek keselamatan dan sokongan kepada pelajar serta guru diberi keutamaan, termasuk bimbingan segera memandangkan kes ini telah tular.
Fadhlina menambah bahawa sesi persekolahan di sekolah tersebut akan diteruskan seperti biasa dengan tumpuan penuh diberikan kepada aspek keselamatan, terutamanya menjelang peperiksaan yang akan datang.
Pihak kementerian akan turun ke Melaka bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan segera sambil memberikan bimbingan psikososial sepenuhnya kepada semua pelajar dan guru yang terkesan.













