Kitaran naik taraf untuk komputer peribadi telah mula menunjukkan rentak perlahan hingga menjangkau hampir kepada tempoh enam tahun, ujar CEO Intel Brian Krzanich semalam.

“Kitaran penggantian untuk komputer peribadi telah menjadi semakin panjang,” ujar beliau. “Dulu empat tahun, sekarang dah anjak antara lima hingga enam tahun,”

Tambah beliau lagi, Intel perlu meningkatkan usahanya dalam inovasi terkini bagi menggalakkan orang ramai untuk lebih kerap menaiktaraf komputer peribadi mereka selain menjadikannya lebih mudah untuk dilakukan. Ucapan beliau ini disampaikan ketika Persidangan Keputusan Strategik Bernstein (Bernstein Strategic Decisions Conference) di New York.

“Buat masa ini, orang ramai lebih mudah untuk berpindah dari telefon lama ke telefon baru berbanding berpindah dari komputer lama ke komputer baru,” beliau menyatakan. “Kami perlu mencari jalan untuk mengubah keadaan ini,”

Kadar naik taraf komputer semakin perlahan lewat kebelakangan ini memandangkan sistem operasi popular hari ini boleh dioperasikan tanpa sebarang masalah pada komputer-komputer Intel yang lama. Malah, pemproses Intel Core berasaskan senibina Sandy Bridge yang dipasarkan lima tahun lalu masih mampu mengoperasikan Windows 10.Sandy Bridge

Kebanyakan orang menggunakan komputer untuk melayari laman web, mendengar muzik, menonton Youtube dan kesemua perkara ini boleh je dilakukan pada komputer jenis lama yang usianya tidak lebih dari 10 tahun.

Lagipun, kebanyakan pengguna menaik taraf komputer dengan menggantikan perkakasan-perkakasan tertentu sahaja seperti menukar hard disk dari jenis tradisional kepada SSD, menambah jumlah RAM dan menukar kad grafik tanpa perlu menukar keseluruhan komputer berkenaan.

Selain itu, peningkatan jualan komputer jenis 2-dalam-1 yang mana boleh digunakan sama ada sebagai laptop atau tablet menyukarkan lagi jualan komputer peribadi di peringkat pasaran global. Ramai pemerhati berpendapat zaman komputer peribadi sudah menuju ke pengakhirannya untuk memberi ruang kepada peranti-peranti mudah alih pula.

Intel kini sedang mengalami proses transisi dari syarikat yang memfokuskan produk berasaskan komputer peribadi kepada syarikat yang menumpukan perkhidmatan awanan dan Internet of Things (IoT). Walaubagaimanapun, pasaran komputer peribadi masih lagi menjadi penyumbang utama pendapatan bagi syarikat pemprosesan ini.

-Sumber berita diperoleh dari Seeking Alpha

Tinggalkan komentar