Selepas 40 tahun beroperasi dan mengeluarkan lebih empat juta kenderaan, Proton Holdings Bhd (Proton) secara rasminya telah menamatkan operasi pemasangan kenderaan di kilangnya di Shah Alam. Semua aktiviti pengeluaran kini dipindahkan sepenuhnya ke kompleks pengilangan moden syarikat itu di Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjung Malim, Perak.

Penutupan kilang di Shah Alam ini menyaksikan kenderaan terakhir dari barisan pengeluaran, sebuah model Proton Saga, pada 30 September 2025. Seramai 1,400 kakitangan pembuatan terakhir dari kilang Shah Alam telah berpindah untuk memulakan tugas di Tanjung Malim.

Peralihan ini adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang Proton yang bermula sejak 2017. Ia tidak lama selepas Geely memperoleh 49.9% kepentingan dalam syarikat automotif nasional itu. Walaupun rancangan tersebut tergendala akibat pandemik COVID-19, ia kini telah direalisasikan sepenuhnya.

Semua model Proton yang dipasang di dalam negara, termasuk Saga, Persona, X50, X70, dan S70, kini dihasilkan di fasiliti Tanjung Malim.

Kilang Proton di Tanjung Malim, yang dibuka pada tahun 2004, mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 250,000 unit. Ia juga telah ditetapkan sebagai hab eksport utama kenderaan pacuan kanan (RHD) untuk Kumpulan Geely di rantau Asia Tenggara.

Selain menempatkan pengeluaran untuk enam model kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE). Fasiliti ini turut menjadi lokasi kilang kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia.

Kilang EV ini akan memulakan pengeluaran model e.MAS 7 dan e.MAS 5 tidak lama lagi. Kapasiti awalnya sebanyak 20,000 unit setahun dan boleh ditingkatkan sehingga 45,000 unit jika diperlukan.

Imej cover dari Wak Proton [Facebook]

Tinggalkan komentar