Kesatuan sekerja Hyundai Motor di Korea Selatan mengeluarkan amaran keras kepada pihak pengurusan syarikat automotif gergasi tersebut. Amaran tersebut dikeluarkan berikutan rancangan penggunaan robot humanoid di kilang mereka.
Pihak kesatuan menegaskan sebarang langkah untuk memperkenalkan teknologi tersebut tanpa persetujuan bersama akan ditentang. Ia dilihat sebagai ancaman serius yang boleh mengancam pekerjaan manusia.
Ketegangan ini susulan pengumuman Hyundai Motor Group baru-baru ini mengenai rancangan mereka untuk mula menggunakan robot humanoid, Atlas. Unit-unit yang dibangunkan oleh Boston Dynamics akan digunakan di kilang-kilang pengeluaran bermula tahun 2028.
Walaupun pengumuman tersebut telah melonjakkan saham syarikat ke paras tertinggi, ia disambut dengan kegusaran para pekerja.
Dalam satu surat dalaman yang dikeluarkan Khamis lalu, kesatuan menegaskan pendirian tiada teknologi baharu yang boleh dibawa masuk tanpa rundingan yang telus.
“Ingatlah bahawa tanpa perjanjian pengurusan-buruh, tidak ada satu pun robot yang menggunakan teknologi baharu akan dibenarkan memasuki tempat kerja,” tegas kesatuan itu dalam kenyataan mereka.
Pihak kesatuan turut mendakwa bahawa langkah agresif Hyundai ini didorong oleh motif keuntungan semata-mata. Tujuan utamanya adalah untuk mengurangkan kos tenaga kerja manusia.
Mereka membandingkan kos penyelenggaraan robot yang jauh lebih rendah berbanding gaji tahunan pekerja mahir. Ia didakwa menjadi alasan utama di sebalik strategi automasi ini.
Pelan Hyundai yang didedahkan semasa Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2026 di Las Vegas baru-baru ini mensasarkan pembinaan kilang yang mampu mengeluarkan 30,000 unit robot setiap tahun menjelang 2028.
Syarikat itu merancang untuk memulakan penggunaan robot ini di kilang baharu mereka di Georgia, Amerika Syarikat, sebelum memperluaskannya ke lokasi lain.
Kesatuan turut mengkritik pemindahan produksi ke Amerika Syarikat yang didakwa menjejaskan pengeluaran domestik dan keselamatan kerja di Korea Selatan.
Sehingga kini, pihak pengurusan Hyundai Motor belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi berhubung isu yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja.
Isu ini dijangka menjadi titik pergeseran utama antara pengurusan dan pekerja dalam masa terdekat. Dalam pada masay yang sama, syarikat juga sedang giat beralih kepada automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi pembuatan mereka.













