Sekitar bulan Jun yang lalu, Microsoft telah menyatakan bahawa kemaskini Windows 10 terbarunya boleh menyebabkan peranti Bluetooth yang bersambungan dengan PC berkenaan berhenti berfungsi. Pada ketika itu, masalah ini disebabkan oleh kerentanan yang terdapat pada teknologi tanpa wayar tersebut.
Bagaimanapun, baru-baru ini didapati sesetengah peranti Bluetooth yang sepatutnya tidak bermasalah dengan kemaskini terbaru turut terkesan dengan masalah yang hampir sama.
Menurut Microsoft, kemaskini terbaru ini akan menimbulkan masalah apabila sesebuah PC yang mempunyai pembesar suara terbina dalam cuba bersambungan dengan pembesar suara Bluetooth. Kemaskini berkenaan dikenalpasti sebagai 4505903 pada Windows 10 versi 1903.
Jika kemaskini berkenaan telah dipasangkan, terdapat kemungkinan pembesar suara Bluetooth pengguna tidak dapat disambungkan dengan PC tersebut. Terdapat juga kemungkinan jika kedua-duanya dapat dihubungkan, kualiti bunyi yang dihasilkan mungkin bermasalah.
Langkah penyelesaian bagi masalah ini mengikut saranan Microsoft adalah dengan menggunakan ‘System File Checker tool (SFC.exe)‘. Untuk melaksanakan langkah penyelesaian ini, pengguna perlu melakukannya menerusi aplikasi ‘Command Prompt’ dengan akses pentadbir dan menaipkan “sfc /scannow”.
Seterusnya, selepas proses arahan berkenaan dapat diselesaikan, PC tersebut perlu dibuat restart.
Sumber berita diperoleh dari Microsoft













