Dilaporkan kini terdapat eksploit aktif pada peranti-peranti iOS dan iPadOS. Justeru itu, Apple telah menerbitkan kemaskini versi 15.3.1 untuk iPhone dan iPad bagi menangani masalah keselamatan ini.

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan, Apple memaklumkan kemaskini keselamatan berkenaan hadir dalam versi 15.3.1. Kemaskini berkenaan dikhususkan bagi tujuan menangani kerentanan pada WebKit.

Apple mengambil berat berkenaan isu ini kerana dibimbangi boleh disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Melalui kerentanan tersebut, penyerang mampu menghasilkan kod untuk menyusup masuk ke peranti mangsa melalui sesebuah laman web.

Kemaskini baharu ini ditawarkan bagi peranti iPhone 6s dan ke atas, serta kesemua model iPad Pro, iPad Air 2 dan ke atas, iPad Generasi ke-5 dan ke atas, iPad mini 4 dan ke atas, serta iPod Touch Generasi ke-7 dan ke atas.

Jika anda memiliki mana-mana peranti seperti yang dinyatakan di atas, anda sebaiknya perlu segera mengemaskini peranti anda sebelum menjadi mangsa.

Kerentanan ini pertama kali diketemukan oleh seorang penyelidik nirnama dan dilaporkan dibawah kod CVE-2022-22620.

Untuk mengemaskini iPhone atau iPad anda, pergi Settings > General > Software Update. Tunggu sehingga peranti anda memuatkan versi terkini sistem operasi dan ketik pada “Download and Install.”

Anda tidak seharusnya membiarkan terlalu lama peranti anda terdedah dengan apa jua ancaman keselamatan. Kemaskini keselamatan segera perlu dilakukan bagi mencegah sebelum parah.

Tinggalkan komentar