Kerajaan negeri Kelantan telah mengenalpasti 200 buah lokasi di sekitar negeri yang masih tidak mempunyai akses internet. Menurut Menteri Besar Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob, pihak kerajaan negeri kini sedang berusaha melakukan penambahbaikan akses komunikasi tersebut.

Perluasan akses internet kepada penduduk-penduduk di kawasan pedalaman ini merupakan kerjasama di antara Kelantan Gate dan BiNa NET.

“Dengan adanya liputan tersebut sekurang-kurangnya dapat memberi khidmat kepada rakyat supaya mereka boleh menggunakan internet berasaskan satelit untuk melayari internet dengan lebih baik.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana Kelantan ICT Gateway BiNa NET berusaha mengatasi masalah liputan rangkaian jalur lebar kepada rakyat,”

Beliau berucap ketika merasmikan Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji Agro Resort, Selising, Pasir Puteh, Kelate.

Berkenaan harga perkhidmatan, beliau menjelaskan perkara berkenaan akan ditentukan oleh pihak penyedia perkhidmatan sama ada dalam bentuk harian atau bulanan. Beliau turut menyatakan pihak Kelantan Gateway hanya bertindak sebagai penyedia kepada kemudahan infrastruktur sahaja.

Menurut beliau lagi, pemancar-pemancar telekomunikasi akan dipasangkan di lebih 50 buah sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK). Keutamaan turut diberikan kepada 18 perkampungan Orang Asli di dalam negeri dengan turut dibantu oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Tinggalkan komentar