Buat anda yang menitik beratkan soal kebersihan peranti milik anda, Apple kini menawarkan kain pengelap rasmi dari Apple yang berharga RM99. Kain lap ini dilancarkan bersama-sama peranti baharu keluarannya pada hari ini.
Kain pengelap berjenama Apple ini diperbuat khusus dari bahan nirpelelas (nonabrasive) dan dijual secara berasingan. Selain mempunyai logo Apple, kain pengelap ini tidak dinyatakan apakah perbezaannya dengan kain pengelap lain terutamanya dari kain jenis mikrofiber.
Menurut Apple, penggunaan kain pengelap ini dapat menghindarkan pengguna dari menggunakan bahan mengelap berpelelas (abrasive) seperti tuala, kertas tisu dan sebagainya.
Berdasarkan maklumat dari laman produknya, Apple menyatakan kain ini boleh digunakan untuk mengelap paparan dan kaca bertekstur nano. Turut disenaraikan peranti-peranti yang sesuai digunakan dengan kain pengelap Apple ini.













