Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk semua penumpang kenderaan persendirian di seluruh negara tidak lama lagi. Ketua Pengarah Datuk Aedy Fadly Ramli, menyatakan pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat dengan tarikh sebenarnya akan diumumkan kemudian.
Bercakap di dalam sidang media, JPJ mengutamakan kesedaran orang ramai dan pemeriksaan buat masa ini. Di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar & Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 (Pindaan 2019), kegagalan memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan denda sehingga RM300.
Beliau menekankan pemakaian tali pinggang keledar merupakan langkah keselamatan paling asas. Memetik kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros), didapati pemakaian tali pinggang keledar dapat mengurangkan separuh risiko kematian akibat kemalangan. JPJ mensasarkan untuk menjadikan pemakaian tali pinggang keledar satu kelaziman bagi melindungi nyawa di jalan raya.
Penguatkuasaan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar telah pun dilaksanakan untuk bas ekspress dan bas persiaran sejak 1 Julai 2025. Peraturan tersebut buat masa ini terpakai untuk bas-bas yang dikeluarkan selepas Januari 2020. Untuk kenderaan-kenderaan lama pula akan diberikan masa untuk membuat pemasangan.













