John McAfee, pengasas pembuat perisian antivirus McAfee Associates dilaporkan telah meninggal dunia. Menurut laporan dari akhbar Sepanyol, beliau didapati telah meninggal dunia selepas dipercayai membunuh diri di dalam sel penjaranya di Barcelona. Bagaimanapun, punca kematiannya masih lagi belum dapat disahkan.

Pengumuman awal tidak menamakan McAfee dan hanya menyebut seorang warga AS berusia 75 tahun yang sedang menunggu ekstradisi. Sumber dalaman yang rapat kemudiannya mengesahkan identiti McAfee kepada Associated Press. Laporan berkenaan turut menyebut usaha memulihkan kembali beliau tidak berjaya dan disahkan telah meninggal dunia oleh kakitangan perubatan penjara.

Mendian McAfee sebelum ini telah meraih keuntungan lumayan menerusi jualan syarikatnya dan lain-lain perniagaan diceburinya. Namun, kebelakangan ini sejak dekad terakhir ini mendiang berdepan pelbagai tindakan undang-undang.

Antaranya dikaitkan dengan kematian jirannya ketika di Belize, Gregory Viant Faull, seorang rakyat AS, tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan. Mendiang juga pernah mencalonkan diri sebagai presiden AS sebanyak dua kali, 2016 dan 2020 sebagai calon Libertarian. Kedua-dua usahanya itu bagaimanapun gagal untuk mendapatkan sebarang pencalonan.

Mendiang McAfee telah dipenjarakan sejak dari Oktober 2020 atas kesalahan melarikan diri dari membayar cukai. Beliau juga berdepan dengan dakwaan kesalahan jenayah dan sivil berkaitan dengan aktiviti penipuan melibatkan kriptowang.

Sebelum ini beliau pernah berusaha merayu untuk tidak diekstradisi ke AS, namun gagal apabila Mahkamah Tinggi Sepanyol telah meluluskan arahan untuk membawakannya kembali ke Amerika Syarikat.

Tinggalkan komentar