Selepas penundaan tarikh pelancarannya pada minggu lalu, sub-jenama di bawah vivo iQOO kini secara rasminya melancarkan telefon pintar mercu baharunya, iQOO 11 5G. Telefon pintar baharu ini juga merupakan model yang pertama dari jenama ini yang menggunakan cipset Qualcomm terkini Snapdragon 8 Gen 2 di pasaran tempatan.
Berdasarkan spesifikasi rasminya, iQOO 11 5G menampilkan skrin rata AMOLED 6.78-inci beresolusi 1440 x 3200 piksel, nisbah aspek 20:9, kadar pensampelan sentuhan 300Hz dan kadar penyegaran semula 144Hz. Seterusnya menjadikan ia setanding dengan telefon pintar khusus permua lain.
Selain menggunakan cipset Snapdragon 8 Gen 2, telefon pintar ini juga menyediakan RAM sebesar 16GB, dan storan UFS 4.0 256GB. Turut disediakan sokongan penambahan RAM secara maya sehingga 8GB.
Bersama-sama beteri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W, iQOO 11 5G turut menyediakan:
- Pembesar suara stereo
- Motor linear dwi paksi-X
- Pengimbas cap jari terbina dalam skrin
- Android 13 melalui Funtouch OS 13
- sistem penyejukan cecair mengewap terbina dalam ruangan
- Wi-Fi
- Bluetooth
- NFC
Untuk pengimejan, telefon pintar ini menempatkan tri-kamera pada bahagian belakangnya yang mengandungi satu kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 13MP dan kamera makro 8MP. Pada hadapannya pula ditempatkan satu kamera 16MP yang boleh digunakan bagi tujuan swafoto atau panggilan video.
Harga iQOO 11 5G di Malaysia
Hasil kolaborasi dengan jenama pengeluar kereta terkemuka Jerman, BMW telefon pintar ini hadir dengan rekaan jalur warna merah dan biru berlatar putih yang melambangkan jenama kereta tersebut.
iQOO 11 5G berharga RM 3,299 dan boleh dibeli di pasaran Malaysia menerusi kedai dalam talian rasmi vivo dan iQOO di Shopee, Lazada dan TikTok.
- iQOO 11 5G (RAM 16GB, storan 256GB) – RM 3,299













