Telefon pintar moden berprestasi tinggi pada hari ini sering dibelenggu masalah prestasi apabila perkakasannya menjadi terlalu panas. Keadaan ini berlaku ketika menjalankan tugasan berkeperluan tinggi seperti rakaman atau tangkapan imej, bermain permainan grafik tinggi dan menyunting video beresolusi tinggi.

Kebanyakan peranti sedemikian seperti siri iPhone 17 Pro baharu didatangkan dengan kebuk pengewapan bagi tujuan penyejukan. Namun adakalanya ia tidak mencukupi dan mendorong seorang Redditor mencuba penyelesaian dengan memodifikasi iPhone 17 Pro Max miliknya.

Dikongsikan di subreddit r/iPhone, pengguna u/T-K-Tronix berkongsikan foto telefon miliknya yang dipasangkan dengan penenggelam haba (heatsink) SSD pada panel belakangnya. Walaupun nampak canggung, iPhone 17 Pro berkenaan berupaya mencatatkan markah tinggi di dalam ujian penanda aras.

Untuk ujian 3DMark Steel Nomad Light Unlimited, telefon berkenaan mencapai kestabilan 90.5% dengan markah yang dicatatkan sekitar dari 2,455 sehingga 2,712.

Sebagai perbandingan, ujian yang sama dilakukan oleh YouTuber Max Tech pada iPhone 17 Pro Max tanpa modifikasi mencatatkan markah kestabilan 69.4% dengan markah sekitar 1,608 hingga 2,318. Amat jauh bezanya dengan peranti yang dimodifikasi. Pengubahsuaian ini juga menunjukkan bagaimana suhu mampu menyekat keupayaan sebenar sesebuah telefon pintar.

Cuma modifikasi ini juga menjadikan iPhone 17 Pro Max milik Redditor berkenaan tidak praktikal bagi kegunaan harian. u/T-K-Tronix mencadangkan memasukkannya ke dalam sangkar kamera untuk memudahkan ia dibawa. Namun ia tetap tidak sesuai kerana keseluruhan peranti telah pun menjadi terlalu tebal untuk dimasukkan ke dalam poket pakaian biasa.

Tinggalkan komentar