Seorang pengguna mendakwa model terbaharu iPhone 17 Pro dengan warna eksklusif ‘Cosmic Orange’ telah mengalami perubahan warna pada bahagian bingkainya kepada merah jambu. Isu yang dikongsikan di platform Reddit ini telah menarik perhatian komuniti teknologi, walaupun setakat ini ia kelihatan sebagai kes terpencil.

Menurut perkongsian pengguna “DakAttack316” di Reddit, iPhone 17 Pro Max miliknya yang sepatutnya berwarna ‘Cosmic Orange’, telah berubah warna. Dalam gambar tersebut, bahagian bingkai logam telefon pintar itu kelihatan telah bertukar kepada warna merah jambu pekat.

Perubahan warna ini dilaporkan hanya berlaku pada bahagian bingkai logam, manakala panel kaca di bahagian belakang telefon kekal dengan warna oren asalnya. Beberapa bahagian yang sukar dicapai seperti di sekeliling bonggol kamera masih menunjukkan sedikit sisa warna oren yang telah pudar.​

Walaupun pengguna tersebut menegaskan bahawa gambar yang dikongsikan adalah tulen, kesahihannya masih dipersoalkan. Laporan itu mengingatkan kepada insiden-insiden kontroversi lampau seperti “Bendgate,” di mana isu-isu terpencil sering diperbesarkan.

Semakan di media sosial juga mendapati tiada laporan lain yang menyakinkan mengenai masalah perubahan warna yang sama. Kemungkinan ia bukanlah satu isu yang meluas dalam kalangan pengguna setakat ini.​

Sekiranya perubahan warna ini disahkan benar, punca yang paling berkemungkinan adalah proses pengoksidaan pada lapisan logam. Namun, adalah luar biasa untuk proses ini berlaku dengan begitu pantas pada peranti baharu.

Faktor lain seperti sentuhan dengan bahan kimia tertentu atau minyak dari jari pengguna telah dipertimbangkan, tetapi corak perubahan warna yang menyeluruh pada bingkai menunjukkan ia bukan disebabkan oleh sentuhan tangan.​

Kemungkinan lain adalah kecacatan yang sangat jarang berlaku dalam proses anodisasi aluminium ketika proses pengeluarannya. Walaupun proses ini biasanya sangat konsisten, kesilapan dalam pembuatan masih boleh terjadi.

Situasi ini akan menjadi lebih jelas sekiranya terdapat lebih ramai pengguna melaporkan masalah yang sama, yang akan menentukan sama ada ia merupakan isu pengeluaran yang lebih besar atau sekadar kes terpencil.

Tinggalkan komentar