Terdapat sebilangan pengguna iPhone 14 Pro mengalami kemerosotan mendadak kesihatan bateri pada peranti masing-masing dalam tempoh kurang dari setahun selepas pembelian.
Menurut 9to5Mac, pengguna-pengguna yang terkesan telah berkongsikan masalah tersebut menerusi Twitter, Reddit dan pelbagai platform media sosial. Lamn web yang sama juga turut mengumpulkan senarai pengguna-pengguna yang berkongsikan tangkapan layar “Kapasiti Maksimum” bateri iPhone 14 Pro masing-masing yang berada pada paras 90% atau kurang.
Salah seorang pengguna yang mendakwa iPhone 14 yang dibeli olehnya pada November 2022 kini mempunyai paras maksimum bateri pada 89% sahaja. Manakala seorang pengguna lagi menyatakan mengalami kemerosotan mendadak paras maksimum pada 91% sahaja dalam tempoh kurang dari setahun selepas pembelian. Pengguna tersebut juga tidak menolak kemungkinan paras tersebut boleh mencecah 85% dalam masa terdekat.
Apple melalui laman web rasminya, menyatakan bateri iPhone normal mampu kekal sehingga 80% dari kapasiti asalnya selepas 500 kali kitaran pengecasan yang lengkap dan di dalam keadaan normal.
Penggantian bateri iPhone secara percuma boleh dituntut oleh pengguna melalui AppleCare+ jika baterinya di bawah 80% dari kapasiti asal. Untuk membuat semakan kesihatan bateri iPhone anda bagi iOS 16.1 dan ke atas, pergi ke Settings > Battery > Battery Health & Charging.













