Apple baru-baru ini telah pun memperkenalkan iPhone dan Apple Watch baharu pada bulan lepas. Kini, laporan dari Mark Gurman di Bloomberg menyatakan iPad Pro M2 dijangka akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini dengan Mac baharu akan menyusul pada tahun ini juga.

iPad Pro generasi baharu ini akan menggunkan cip M2 baharu yang sama seperti yang digunakan pada MacBook Air M2 yang dilancarkan pada Jun lalu. Ia diberikan nama kod sebagai J617 dan J620 dan masih menggunakan bentuk faktor yang sama iaitu 11-inci dan 12.9-inci. Cip M2 yang digunakan ini juga dikatakan 20% lebih pantas berbanding M1.

Selain iPad Pro M2, Gurman turut menyebut iPad peringkat pemula baharu yang menggunakan nama kod J272 juga akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini. iPad keluaran 2022 ini dikatakan akan menampilkan ciri reka bentuk baharu dengan menampilkan port USB-C menggantikan Lightning dan juga sokongan rangkaian 5G.

Berbeza dengan iPad Pro yang akan diperkenalkan tersebut, iPad peringkat pemula baharu ini dikuasakan oleh cip A14 Bionic, jenis yang sama digunakan pada iPhone 12 dan iPad Air 4. Ini bermakna, Apple akan terus menggunakan cip siri M keluarannya eksklusif pada iPad Pro dan iPad Air buat masa ini.

Beberapa hari yang lepas, Gurman juga pernah menyatakan beliau menjangkakan iPadOS 16.1 akan diterbitkan kepada pengguna dalam minggu yang sama pada 24 Oktober ini. Memandangkan kemaskini ini menyediakan sokongan untuk iPad model baharu, tidak mustahil jika iPad baharu akan diumumkan pada minggu hadapan. Dijangkakan tiada sebarang majlis pelancaran akan dibuat bersempena pelancaran tersebut dan mungkin hanya sekadar kenyataan media akan dikeluarkan.

Komputer Apple Mac baharu keluaran 2022

Desas-desus mengenai kehadiran Mac baharu pada tahun 2022 kini semakin galak diperkatakan. Berdasarkan maklumat dari Gurman, beliau menjangkakan Mac baharu ini akan diperkenalkan dalam tahun ini, tetapi tidak bersama-sama iPad baharu.

Dijangkakan MacBook Pro 14-inci dan 16-inci baharu akan diperkenalkan dalam masa yang terdekat ini dan akan menampilkan penggunaan cip M2 baharu iaitu M2 Pro dan M2 Max. Selain MacBook Pro, Gurman turut menyebut mengenai kemungkinan Apple akan memperkenalkan Mac mini M2 yang baharu.

Tinggalkan komentar