Pengguna yang telah mengemaskini iOS 16 atau menggunakan iPhone 14 yang menggunakan versi sistem operasi berkenaan dikatakan menerima notifikasi keizinan untuk menampal kandungan.

Ciri ini mungkin dilihat sebagai agak mengganggu pada sesetengah pengguna sungguhpun ia bertujuan menjaga privasi pengguna. Sesetengah aplikasi beberapa tahun lalu diketahui mempunyai akses kepada data yang disalin dari clipboard pengguna.

Apple seterusnya telah mengambil tindakan dengan memaklumkan penggunanya apabila sesebuah aplikasi mengakses ke clipboard. Pengguna mungkin melihatnya sebagai satu gangguan pada permulaannya, namun aplikasi-aplikasi berkenaan boleh mengemaskinikannya dengan menggunakan API baharu yang menguruskan akses ke clipboard dengan cara yang lebih selamat.

Menerusi iOS 16, Apple telah menambah dialog meminta izin bahau yang memerlukan pengguna untuk memberikan respon sama ada membenarkan atau tidak membenarkan untuk melakukan tampalan kandungan.

Ciri ini pertama kali diperkenalkan di dalam versi pembangun iOS 16 beta 1 pada awal Jun lalu. Contohnya, fungsi ini mengeluarkan notifikasi apabila pengguna menyalin imej dari Photos atau teks dari Safari untuk ditampal ke dalam Messages.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan bagaimanakah ciri ini berfungsi. Adakah ia turut muncul ketika menggunakan aplikasi-aplikasi binaan Apple sendiri di dalam iPhone atau hanya pada aplikasi pihak ketiga lain? Juga adakah ia boleh diuruskan oleh pengguna sendiri menerusi Privacy and Security di dalam Settings? Atau pengguna boleh mematikan terus ciri ini?

Jika iOS 16 kekal dengan mesej dialog meminta keizinan ini untuk setiap tindakan menampal kandungan, mungkin sejarah lama Windows Vista berulang lagi pada iPhone pula.

Tinggalkan komentar