Bersempena MWC 2019, Intel turut mengambil kesempatan sepanjang acara ini untuk mengumumkan inovasi dan produk-produk terkininya. Antara yang diumumkan termasuklah cipset 5G terbarunya Snow Ridge dan pemprosesan Intel Xeon D Generasi Berikutnya, “Hewitt Lake”.

Terdahulu, berita dan uran-ura mengenai pembangunan dan kefungsian cipset 5G Snow Ridge telah pun tersebar luas. Ia dibina berdasarkan senibina cipset rangkaian 10nm dan dibangunkan khusus untuk kegunaan akses tanpa wayar 5G dan perkomputer termaju. Secara ringkasnya, komponen berkenaan dibuat untuk kegunaan infrastuktur rangkaian. Lanjutan dari pengumuman Snow Ridge tersebut, Ericsson dan ZTE bersetuju untuk mengimplementasikan cipset Snow Ridge ke dalam rekaan stesen pemancar 5G masing-masing.

Sungguhpun Intel tidak menyatakan tarikh spesifik penggunaan cipset Snow Ridge pada peranti-peranti rangkaian, pengeluar pemprosesan komputer yang popular ini menyatakan pengeluaran cipset ini bermula sekitar pertengahan tahun 2019.

Seterusnya, Intel turut mengumumkan kehadiran pemprosesan Intel Xeon D terbarunya. Buat masa ini, pemprosesan berkenaan dikenali dengan nama kodnya iaitu “Hewitt Lake”. Tidak banyak maklumat yang dikongsikan oleh Intel mengenai pemprosesan khusus untuk pelayan terbarunya ini. selain dari penambahbaikan pada kelajuan kloknya.

Intel juga sempat menceritakan sedikit mengenai pemprosesan Generasi Berikutnya, Cascade Lake. Menurutnya, pemprosesan stesen kerja (workstation) ini menyokong Optane DC Persistent Memory, serta terdapat variasi yang boleh memuatkan sehingga 48 teras, 96 bebenang dan 12 saluran memori untuk prestasi yang lebih tinggi.

Ke arah rangkaian 5G

Sesuai dengan tema sambungan rangkaian 5G dan kelajuannya, Intel turut mengumumkan kehadiran kad rangkaian Pemecut Trafik 5G (5G Traffic Accelerator). Kad ini direka untuk memecutkan trafik rangkaian pada kelajuan 100Gbps. Ianya hadir dengan memori DIMM DDR4 9GB dan memiliki lebar jalur berukuran 8×10 Gbps dan 4x25Gbps.

Akhir sekali, Intel turut mengumumkan pihaknya kini sedang menjalinkan usahasama dengan beberapa pengeluar modem bagi menyediakan rangkaian 5G ke pasaran. Antaranya kerjasama dengan Skyworks bagi membangunkan modem XMM 8160 dalam usaha mewujudkan frekuensi radio terbaru 6GHz. Selain itu, usahasama dengan Fibocom telah mewujudkan modul selular M.2 yang direka khusus untuk diintegrasikan dengan modem Intel XMM 8160 ke dalam peranti gerbang 5G.

Sumber berita diperoleh dari ZDNet

Tinggalkan komentar