Intel melanjutkan usaha memajukan teknologi pembuatan cip pemprosesan yang berteraskan Hukum Moore apabila merancang untuk membina kilang percubaan untuk proses pembuatan 7-nm. Pegumuman berkenaan dibuat semalam.
Berdekad lamanya, Hukum Moore telah dijadikan sebagai sumber rujukan buat Intel untuk menjadikan cip-cip pemprosesan yang dihasilkannya menjadi lebih kecil, lebih pantas dan lebih jimat tenaga. Usaha ini jugalah menjadikan laptop-laptop dan peranti mudah alih yang ada pada hari ini lebih kecil, ringan dan lebih jimat tenaga.
Intel dilihat masih lagi mengikuti hukum berkenaan walaupun terdapat sesetengah pakar yang berpendapat Hukum Moore sudah mencapai hadnya hari ini apabila secara fiziknya adalah mustahil untuk memuatkan lebih banyak bahan semikonduktor ke dalam cip yang lebih kecil.
Kilang percubaan ini akan menguji dan memperbetulkan teknik-teknik pembuatan cip bersaiz 7-nm pada skala pengeluaran. Intel sehingga kini masih belum menyatakan bila cip 7-nm ini akan hadir ke pasaran, namun dijangkakan cip ini tidak akan ada di pasaran dalam tempoh dua atau tiga tahun ini.
“Kilang percubaan ini diwujudkan bagi mendapatkan cara bagaimana untuk menghasilkan berbillion cip,” ujar Dean McCarron, Penganalisis Prinsipal di Mercury Research.
Pengeluaran dari kilang percubaan adalah terhad dan ia merupakan batu loncatan buat Intel membuat pelaburan yang lebih besar untuk mewujudkan kilang yang lebih besar untuk menghasilkan cip 7-nm.
“Setelah proses pembuatannya telah disempurnakan tekniknya, ia akan diimplementasikan pada kilang-kilang lain pula,” tambah Dean McCarron lagi.
Cip terbaru Intel yang berada di pasaran sekarang ini, Kaby Lake dibuat dengan menggunakan proses pembuatan 14-nm. Pada CES awal Januari ini Intel telah memperkenalkan Cannonlake, cip yang dibuat dengan teknik 10-nm dan dijangkakan 7-nm akan menyusul pula selepas 10-nm.
Sebelum ini Intel mentafsir Hukum Moore dengan menggandakan jumlah transistor pada setiap cip dalam tempoh setiap 18 hingga 24 bulan yang bertujuan melipat gandakan prestasinya.
Bukan soal bilangan transistor lagi
Bagaimanapun, proses memadatkan jumlah transistor yang terlalu banyak untuk sebuah cip yang semakin kecil adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan pada proses 14-nm apabila geometrinya juga semakin mengecil. Akibatnya, Intel terpaksa menghadapi kelewatan pengeluaran berikutan prosesnya yang semakin rumit.
Pun begitu, Intel telah berjaya mengeluarkan tiga produk melalui proses 14-nm ini – Broadwell, Skylake, dan Kaby Lake.
Menggandakan bilangan transistor pada setiap generasi terbaru cip pemprosesan bukanlah kebimbangan utama Intel kini. Ini kerana Intel sekarang ini menterjemahkan Hukum Moore mengikut keperluan ekonomi semasa berdasarkan kos-per-transistor dan ia masih belum bercanggah dengan hukum berkenaan.
Proses pengeluaran 7-nm bakal membawakan perubahan radikal terhadap rekabentuk cip yang kini mengutamakan saiz kecil yang ekonomik dan lebih jimat tenaga. Intel merancang menggunakan bahan eksotik III-V seperti gallium-nitride untuk menghasilkan cip yang lebih pantas disamping memberikan masa penggunaan bateri laptop yang lebih panjang.
Pesaing seperti Globalfoundries dan Samsung telah memulakan langkah ke arah menghasilkan proses 7-nm. Globalfoundries menyatakan akan mula menghasilkan cip menggunakan proses 7-nm menjelang 2018. Manakala ARM pula telah menerbitkan alatan untuk mereka bentuk cip 7-nm.
Samsung dan Globalfoundries telah mula menghasilkan cip pemprosesan 10-nm seperti Qualcomm Snapdragon 835 yang dijangkakan akan hadir pada telefon pintar tidak lama lagi. Selain itu, Globalfoundries yang juga merupakan rakan kongsi rapat IBM telah mengeluarkan cip 7-nm pertama pada tahun lepas.
Sumber berita diperoleh dari CNBC













