Intel telah menyampaikan beberapa kemaskini di dalam ucaptamanya ketika Persidangan Pembangun Permainan (Game Developers Conference, GDC) 2019. Antaranya termasuklah Graphics Command Center terbarunya yang direka semula untuk digunakan bersama-sama GPU bersepadunya (integrated GPU).

Graphics Command Center ini merupakan sebuah aplikasi yang menawarkan khidmat bantuan optimasi penggunaan melalui Intel Graphics. Ianya direka semula sepenuhnya berdasarkan maklumbalas yang diterima dari pengguna.

Sebagaimana yang dijangkakan, penggunaan antaramuka yang lebih moden dan segar ini memudahkan pengguna mengubah tetapan tahap kualiti grafik. Selain itu, aplikasi ini turut memberikan kemudahan kepada pengguna dalam menunjukkan perubahan kualiti grafik sebelum dan selepas sesuatu tetapan itu dilakukan.

Intel turut mengimplementasikan beberapa ciri yang amat berguna buat pemain permainan komputer. Antaranya, Graphics Command Center ini menawarkan pengesan permainan automatik, yang mana ia mengimbas keseluruhan PC untuk menemukan sebarang bentuk aplikasi permainan.

Juga, turut disertakan fungsi butang satu-klik yang mengoptimasikan sistem komputer untuk tujuan permainan. Sama seperti aplikasi NVIDIA Geforce Experience atau AMD Radeon WattMan, ianya direka bagi menyediakan tetapan paling optimal dari GPU bersepadu untuk kegunaan permainan komputer.

Aplikasi Graphics Command Center kini boleh dimuat turun melalui Microsoft Store. Walaubagaimanapun, aplikasi ini hanya bersesuaian untuk pemprosesan Intel Core Generasi Ke-6 dan atas, selain memerlukan sistem operasi Windows 10 Kemaskini Build 1709 dan ke atas.

Sumber berita diperoleh dari Intel

Tinggalkan komentar