Mendedahkan sebahagian dari perancangan produk akan datang kepada pelabur-pelabur merupakan di antara langkah-langkah syarikat untuk menarik pelaburan dan Intel tidak terkecuali di dalam hal ini. Terbaru, Intel telah mendedahkan prestasi pemprosesan Core Generasi Kelapan yang akan hadir nanti.
Melalui slaid pembentangan yang disampaikan oleh Pengerusi Intel Kumpulan Perniagaan IOT & Pelanggan dan Senibina Sistem, Dr. Murthy Renduchintala, keluarga pemprosesan Intel Core i7 Generasi Kelapan ini menawarkan prestasi 15 peratus lebih baik dari generasi terdahulu.
Sungguhpun tiada statistik jitu disediakan, melalui slaid berkenaan didapati kenyataan ini berdasarkan pengujian Sysmark yang dijalankan secara dalaman oleh Intel.
Turut dinyatakan, pemprosesan Core Generasi Kelapan ini bakal hadir pada separuh tahun kedua 2017. Oleh kerana pemprosesan ini masih lagi dihasilkan melalui teknologi 14nm, berkemungkinan ia bukan dari keluarga Cannonlake. Ia disebabkan Cannonlake bakal dihasilkan melalui teknologi penghasilan 10nm dan dijangkakan akan hadir pada penghujung tahun ini.
Pendedahan ini mungkin boleh jadi sebagai jawapan kepada AMD yang tidak lama lagi akan melancarkan pemprosesan terbaru, Ryzen. Pemprosesan yang hadir dari AMD berkenaan dikatakan mampu menjadi pencabar terhadap kuasa pemprosesan yang ditawarkan oleh Intel setakat ini.
Apapun, tahun 2017 ini menjanjikan tahun yang menarik buat segmen pasaran mikropemprosesan global.
Sumber berita diperoleh dari Intel, Imej dari TechRevolutionist













