Facebook Malaysia telah mengumumkan akan membawakan Reels dan Music ke Instagram Stories untuk pengguna-penggunanya di Malaysia. Fungsi sedemikian sebelum ini telah pun dilancarkan untk pengguna-pengguna Instagram di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Australia.
Sekilas pandang, Reels menawarkan seakan-akan apa yang disediakan oleh platform video sosial lain seperti TikTok. Ianya memberikan pengguna kesan-kesan khas untuk disunting ke dalam video berdurasi 15 saat sebelum dimuat naik.
Anda juga diberi pilihan sama ada merakam video baharu berdurasi 15 saat atau memuat naik video yang sudah dirakam dan menambahkan kesan khas padanya. Reels yang telah disiapkan boleh diketemukan pada tab khusus di dalam profil anda.
Untuk Music pula, anda boleh memasukkannya melalui sticker Music. Anda bole memilih apa jua lagu yang popular pada ketika itu, atau mencarinya melalui kotak carian. Anda boleh mengambil sebahagian lagu yang anda inginkan, dan juga menambah liriknya mengikut citarasa anda untuk dimuat naik ke Instagram Stories. Anda juga boleh memilih bagaimana ianya dipersembahkan pada Stories anda.
Kedua-duanya, Reels dan Music kini sudah sedia diluncurkan ke dalam aplikasi Instagram anda. Bagi anda yang masih belum menemukan fungsi ini, sila kemaskini Instagram anda ke versi terkini.













