Infinix Malaysia telah melancarkan telefon pintar baharunya, Infinix Note Edge bermula Februari 2026 ini. Peranti yang dinanti-nantikan ini memfokuskan kepada penawaran spesifikasi kelas pertengahan yang premium. Antaranya rekaan skrin lengkung 3D dan kapasiti bateri yang besar pada harga yang sangat kompetitif iaitu RM999.
Pelancaran ini mensasarkan pengguna yang mahukan peranti berprestasi tinggi dengan rekaan estetik tanpa perlu berbelanja besar.
Infinix Note Edge hadir dengan rekaan nipis berukuran 7.2mm yang memberikan sentuhan elegan. Ia dilengkapkan skrin AMOLED 6.78 inci dengan kadar segar semula 120Hz untuk paparan visual yang lancar.
Peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 7100 5G, sebuah cip baharu yang menjanjikan prestasi optimum untuk permainan video dan tugasan harian. Ia disokong oleh sistem operasi XOS 16 berasaskan Android 16.
Salah satu ciri paling menonjol adalah kapasiti bateri 6,500mAh yang luar biasa membolehkan penggunaan jangka panjang. Kelebihan tersebut turut hadir dengan sokongan pengecasan pantas 45W.
Menurut kenyataan rasmi yang mengiringi pelancaran ini, pihak Infinix menekankan komitmen mereka terhadap sokongan perisian jangka panjang untuk peranti ini.
Infinix Note Edge akan menerima tiga kemaskini utama sistem operasi Android (sehingga Android 19) dan lima tahun kemaskini keselamatan sehingga tahun 2031.
Spesifikasi Infinix Note Edge
Berikut adalah spesifikasi utama Infinix Note Edge:
- Paparan: 6.78-inci AMOLED, Resolusi FHD+, Kadar segar semula 120Hz, Skrin lengkung 3D.
- Cip Pemproses: MediaTek Dimensity 7100 (6nm) dengan sokongan 5G.
- Memori & Storan: 8GB RAM + 256GB Storan Dalaman.
- Kamera Utama: 50MP (sensor 1/2-inci) + sokongan Live Photo.
- Bateri: 6,500mAh dengan pengecasan pantas 45W.
- Sistem Operasi: XOS 16 (Berasaskan Android 16).
Anda boleh mendapatkan Infinix Note Edge bermula minggu ini melalui kedai rasmi atas talian termasuk TikTok Shop dan pengedar sah di seluruh Malaysia.
Telefon pintar ini ditawarkan dalam empat pilihan warna menarik iaitu Lunar Titanium, Silk Green, Stellar Blue, dan Shadow Black.
Bagi pembelian awal, pelanggan turut berpeluang menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM109 yang merangkumi kerangka pelindung, tali telefon, dan pelindung skrin.













