Seperti yang diumumkan pada minggu lepas, Infinix secara rasminya telah melancarkan Hot 50, telefon pintar 5G peringkat pemula baharu. Ia berharga RM150 lebih mahal berbanding Hot 50i yang diturunkan harganya baru-baru ini.

Infinix Hot 50 dilengkapkan dengan paparan LCD 6.7-inci 720p dengan kecerahan puncak 480 nits, kadar penyegaran semula 120Hz dan penarafan kerintangan air dan debu IP54. Di dalamnya ia menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 6300 bersama-sama RAM 8GB, storan dalaman 256GB serta slot kad mikroSD.

Dari segi perisiannya pula, ia didatangkan dengan XOS 14.5 yang berasaskan Android 14 dan Infinix AI. Terdapat pengimbas cap jari pada sisinya bagi tujuan keselamatan biometrik.

Pengimejannya dilengkapkan dengan kamera utama 48MP, dua sensor berkedalaman dan kamera hadapan 8MP. Peranti peringkat pemula ini hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan 18W. Untuk ketersambungannya pula, ia menyokong 5G, Wi-Fi 5, Bluetooth 5.4 dan NFC.

Infinix Hot 50 dijual pada harga RM599 di kedai rasmi Infinix di Shopee dengan pilihan warna hitam, hijau, ungu dan biru. Bermula dari sekarang sehingga 15 Oktober 2024, pembelian telefon pintar ini didatangkan dengan sepasang earbuds nirwayar percuma.

Tinggalkan komentar