Laporan terkini mendakwa India kini sedang mempertimbangkan untuk menyekat kemasukan telefon pintar keluaran dari China ke pasaran telefon pintar bajet tempatan. Arahan sekatan ini menghalang pengeluar dari China untuk menjual telefon pintar bawah harga IND12,000 (~RM672).

Inida merupakan pasaran telefon mudah alih kedua terbesar di dunia dilihat ingin menyekat kemasukan telefon pintar berharga bajet dari China kerana menjejaskan pengusaha tempatan, menurut laporan dari Bloomberg.

Jenama pengeluar telefon pintar bajet dari China seperti Xiaomi dan realme amat popular di kalangan pengguna-pengguna di India atas faktor harga dan juga kualiti yang ditawarkannya. Menurut kajian dari Counterpoint, telefon pintar berharga di bawah 12,000 rupee menguasai satu pertiga jualan di India pada suku tahunan yang lalu dengan 80% daripadanya merupakan pengeluar dari China.

Xiaomi berkemungkinan berdepan dengan kesan yang amat mendalam kerana 66% telefon pintar keluarannya adalah pada harga bajet yang amat popular. Penganalisis dari Bloomberg menjangkakan jika sekatan ini dilaksanakan, Xiaomi mungkin kehilangan jualan telefon pintar sekitar 11% hingga 14% dalam setahun, bersamaan 20 -25 juta unit.

India mula memandang serius terhadap kegiatan firma-firma teknologi dari China sepanjang tahun ini dengan menjalankan siasatan terhadp ZTE dan Vivo atau tuduhan salah laku kewangan. Siasatan ini turut dijalankan terhadap 500 buah syarikat lain termasuk dari China seperti Xiaomi, Oppo, Huawei, dan Alibaba.

Malah agensi anti penggubahan wang haram India juga membekukan akaun bank Xiaomi India atas tuduhan melanggar undang-undang tukaran antarabangsa. Terdahulu India telah menyekat sejumlah aplikasi dari China pada tahun 2020 yang dikatakan atas sebab keselamatan. Antara aplikasi yang disekat termasuklah TikTok dan WeChat dengan angkanya kian meningkat dengan kini lebih dari 300 aplikasi telah disekat.

Tinggalkan komentar