Samsung Galaxy Tab S10 yang dikatakan akan dilancarkan pada Oktober ini kini dilaporkan mempunyai maklumat baharu yang ditiriskan lagi ke arena web. Selepas beberapa maklumat spesifikasinya tertiris di Geekbench, kini gambarnya pula dilaporkan turut tertiris.
Android Headlines telah berkongsikan apa yang didakwa sebagai imej rasmi yang digunakan untuk tujuan pemasaran siri Samsung Galaxy Tab S10. Imej-imej ini juga kelihatan selari dengan dakwaan yang mengatakan hanya model Plus dan Ultra sahaja yang akan ditawarkan di dalam siri ini.

Menyamai dengan imej pengolokan yang tertiris pada Jun lalu, model Ultra mempunyai takuk pada sebelah atasnya dengan model Plus pula mempunyai bingkai keseluruhan yang lebih tebal.

Bagaimanapun, imej yang tertiris tersebut rendah resolusinya dan agak sukar untuk mendapatkan perincian lanjut daripadanya. Dalam perkembangan yang berkaitan, laporan dari MySmartPrice menyatakan Samsung Galaxy Tab S10 Plus dan Ultra menerima persijilan 3C di China yang menunjukkan kedua-duanya mempunyai kadar pengecasan 45W.
Setakat ini gergasi teknologi dari Korea Selatan ini tidak menyatakan apa-apa lagi secara rasminya berkenaan Samsung Galaxy Tab S10. Namun, berdasarkan ura-ura yang mengatakan tablet ini akan dilancarkan pada bulan Oktober, ia mungkin tidak lama lagi untuk kita mendapatkan maklumat rasmi mengenainya.













