Saban tahun, Samsung seperti biasa dijangka akan mengemaskini penawaran telefon pintarnya dengan model baharu. Model-model yang dijangka hadir pada 2022 kelak turut diperkatakan, sungguhpun masih belum ada pengumuman rasmi mengenainya.
Antara model tersebut, telefon pintar peringkat menengah Samsung Galaxy A53 dikatakan telah tertiris foto pengolokannya di internet.
Berdasarkan imej pengolokan yang dikongsikan oleh OnLeaks, rekaan Galaxy A52 masih lagi dikekalkan pada model keluaran tahun hadapan tersebut.
Cuma terdapat sedikit perbezaan pada bonggolan kamera belakang Galaxy A53 yang didapati lebih membonjol berbanding pada Galaxy A52.

Menurut maklumat dari OnLeaks, telefon baharu ini hanya berketebalan 8.14mm tanpa mengambil kira ketebalan bonggolan kameranya. Ini seterusnya menjadikan telefon ini lebih tipis berbanding Galaxy A52 yang berukuran 8.4mm.
Turut dinyatakan berdasarkan imej pengolokan tersebut adalah ketiadaan bicu audio 3.5mm. Perubahan ini mungkin mengecewakan sesetengah peminat yang menikmati kualiti fon audio berwayar.
Paparannya pula dikatakan berukuran 6.5-inci dengan sebuah kamera berpenebuk lubang pada sebelah atas di tengahnya.

Seperti kebanyakan model telefon Samsung lain, pada sebelah sisi kanannya menempatkan butang kawalan audio, dan butang suis. Dibawahnya pula disediakan gril pembesar suara dan port USB-C.
Walaubagaimanapun, OnLeaks tidak menyediakan maklumat lanjut berhubung spesifikasi perkakasan, kamera dan ciri-ciri khas lain Samsung Galaxy A53.
Dalam perkembangan yang berkaitan, GSMArena melaporkan Samsung Galaxy A53 akan dilancarkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2022.













