Intel baru-baru ini telah mendedahkan maklumat terkini mengenai kad grafik desktop terbaru keluarannya yang akan datang, Xe. Maklumat ini diterbitkan melalui akaun rasmi Weibo Intel China yang turut memuatkan video pengolokan kad grafik berkenaan.

Berdasarkan terjemahan dari sebuah pos dari akaun media sosial berbahasa Cina berkenaan, didapati kad grafik Xe tersebut akan diperkenalkan sekitar tahun 2020. Selain itu, GPU bagi kad grafik berkenaan akan dibina berasaskan proses FinFET 10nm.

Turut di dalam perancangan, Intel bakal menghasilkan pemprosesan grafik berasaskan binaan FinFET 7nm untuk GPU Xe Generasi Ke-2. Turut dilaporkan, GPU Xe Generasi Ke-2 akan memuatkan fungsi ray-tracing ke dalam kad berkenaan pada peringkat perkakasan.

Xe juga dilaporkan akan menyokong proses perskalaan integer Intel, sebuah teknik menaikkan skala yang membolehkan GPU-GPU mengekalkan kejernihan dan kejituan imej yang dihasilkan tanpa mengorbankan resolusi asal piksel-piksel yang terlibat.

Pada segi luarannya, video pengolokan berkenaan turut menunjukkan kad grafik tersebut memiliki tiga buah kipas untuk penyejukan bersama-sama tiga DisplayPort dan sebuah port HDMI di belakangnya.

Intel tidak memperincikan maklumat lebih lanjut mengenai GPU dan kad grafik terbaru keluarannya yang akan datang ini. Justeru, dijangkakan maklumat lanjutnya bakal diperoleh dalam masa yang agak lama sekitar awal tahun hadapan.

Sumber berita diperoleh dari Weibo

Tinggalkan komentar