Lebih kurang setahun yang lalu, Huawei telah melancarkan telefon pintar peringkat pertengahan Huawei Y9 2019 untuk pasaran Malaysia. Lanjutan dari itu, meneruskan kesinambungannya, Huawei Y9s pula bakal menyusul ke pasaran tempatan tidak berapa lama lagi.
Disampaikan melalui akaun Facebook dan Twitter rasmi Huawei, telefon pintar ini tidak akan digelarkan mengikut tahun keluarannya seperti ‘2020’ sebagaimana Y9 Prime 2019, Y9 2019, dan Y9 2018. Apa pun, Y9s hadir dengan penambahbaikan baru yang memberikannya keunikan yang tersendiri berbanding model Y9 2019.
Misalnya, Y9s yang terbaru ini hadir dengan tetapan tri-kamera pada kamera utamanya melalui gabungan 48MP f/1.8, lensa ultra lebar 8MP f/2.4 dan kamera berpenderia kedalaman 2MP. Kamera swafotonya disediakan melalui satu modul terpacul yang menyediakan satu lensa 16MP f/2.2. Seterusnya, memberikan kelebihan paparan nirbingkai 6.59-inci.
Art of the Light. The polished glass body with 3D arc design delivers a smooth and comfortable feeling in your hand. Coming soon to you.#HUAWEIY9s #HUAWEI #HUAWEIYseries pic.twitter.com/XrW0qL8UBO
— Huawei Mobile MY (@HuaweiMobileMY) November 23, 2019
Dikuasakan oleh cipset Kirin 710F dengan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB, Y9s turut didatangkan dengan pengimbas cap jari yang ditempatkan pada sisinya. Menurut Huawei, telefon pintar ini dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 4,000mAh.
Setakat ini Huawei Malaysia masih lagi belum mendedahkan harga jualannya untuk pasaran tempatan.
Sumber berita diperoleh dari Facebook dan Twitter Rasmi Huawei Malaysia













