Huawei telah melancarkan rangkaian RuralStar Pro di Malaysia, teknologi telekomunikasi ini direka bagi menyediakan sambungan internet bagi penduduk di kawasan luar bandar yang kekurangan akses infrastruktur komunikasi. Di Malaysia, Huawei telah menjadikan Bera, Pahang sebagai kawasan pertama yang menerima perkhidmatan berkenaan.
RuralStar Pro merupakan teknologi nirwayar Huawei yang tidak memerlukan komunikasi garis nampak (line-of-sight communication) untuk penyambungannya. Oleh yang demikian, ia merupakan pilihan yang sesuai bagi kawasan luar bandar yang mempunyai geografi berbukit-bukau.
Menurut Huawei, sistem ini juga tidak memerlukan kos yang tinggi untuk menyediakannya kerana faktor rekaan pemasangannya yang telah dipermudahkan. Untuk sesebuah nod dipasang, ia hanya mengambil masa yang kurang dari tujuh hari untuk disiapkan.

Setiap tapak nod juga mempunyai penggunaan tenaga yang rendah iaitu kurang dari 120W sahaja, bersamaan lebih kurang lima biji mentol. Oleh itu, RuralStar Pro hanya memerlukan dua buah panel suria sahaja sebagai bekalan kuasannya dalam menyediakan akses ke panggilan suara dan internet kepada penduduk-penduduk di sekitarnya. Huawei turut bekerjasama dengan Celcom bagi menyediakan liputan 4G LTE.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan berpendapat RuralStar Pro yang kini telah digunakan di 60 buah negara, mampu menyediakan lebih banyak peluang melibatkan pendidikan, kesihatan, dan pekerjaan bagi rakyat Malaysia di kawasan luar bandar.
Dalam pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Idham Nawawi menambah teknologi berkenaan akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan yang kurang menerima liputan di seluruh negara dan tidak hanya terhad di kawasan Bera, Pahang sahaja.
Perkembangan ini berlaku tidak sampai sebulan selepas satelit MEASAT-3d dilancarkan. Projek yang menelan belanja sebanyak RM1.2 billion tersebut disasarkan bagi meningkatkan mutu akses internet di kawasan luar bandar.