Huawei secara rasminya telah melancarkan Pura 80 Pro dan Pura 80 Ultra ke pasaran Malaysia pada bulan lepas. Kini, sebuah lagi model di dalam siri mercu berkenaan hadir ke pasaran tempatan melalui Pura 80.
Menampilkan paparan OLED LTPO 6.6-inci beresolusi 1,256 x 2,760 piksel dan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz, Huawei Pura 80 turut menggunakan Kunlun Glass generasi kedua untuk ketahanannya. Sama seperti model yang lebih tinggi di dalam siri ini, ia juga menampilkan AI Smart Controls Button.
Di dalam telefon pintar ini dimuatkan dengan bateri berkapasiti 5,170mAh bersama-sama sokongan pengecasan berwayar 66W dan nirwayar 50W. Selain itu, ia juga didatangkan dengan RAM 12GB dan storan 256GB. Untuk perisian, telefon pintar ini menggunakan EMUI 15.
Dari segi pengimejan, Huawei Pura 80 menampilkan tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP dengan OIS dan apertur boleh laras antara f/1.4 hingga f/4.0, kamera ultra-lebar 13MP dan telefoto berperiskop 12MP dengan zum optikal 5.5x. Untuk di hadapan pula disediakan sebuah kamera 13MP.
Huawei Pura 80 didatangkan di dalam pilihan warna Frosted Gold, Frosted White, dan Frosted Black pada harga RM3,299. Bermula dari 29 Ogos sehingga 7 September 2025, anda boleh membuat pembelian secara fizikal atau secara dalam talian, serta melalui platform di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop. Anda yang membuat pra-tempahan berpeluang untuk menerima hadiah percuma seperti baucar RM500, Huawei Band 8, Huawei Scale 3, perlindungan Huawei Care+ untuk setahun.