Huawei kini membawa masuk Huawei MatePad 12 X (2026) ke pasaran Malaysia. Ia merupakan versi segar semula (refresh) kepada MatePad 12 X yang diperkenalkan pada 2024, dengan beberapa naik taraf dan ciri baharu.

Tablet ini ditawarkan untuk pra-tempahan pada harga RM2,499, turut ditawarkan aksesori stylus M-Pencil Pro dijual pada RM599. Huawei turut menyatakan pembelian awal akan ditawarkan hadiah percuma bernilai sehingga RM1,047 bergantung pada promosi pra-tempahan.

Huawei memfokuskan pengalaman paparan melalui skrin 12 inci Ultra-clear PaperMatte yang didakwa menawarkan pengalaman bebas silau. Menurut Huawei, paparan Ultra-clear PaperMatte pada peranti ini direka untuk memberi pengalaman ‘glare-free’ ketika penggunaan harian.

Ciri-ciri dan Spesifikasi Utama Huawei MatePad 12 X (2026)

  • Paparan 12 inci (Ultra-clear PaperMatte), resolusi 2,800 x 1,840 piksel, nisbah 3:2, kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 1,000 nits.
  • Rekaan setebal 5.9mm dan berat 555g.
  • Cip Kirin T92B, RAM 12GB, storan 256GB.
  • Bateri 10,100mAh dengan pengecasan berwayar 66W.
  • Sambungan WiFi 7, Bluetooth 5.2 dan NearLink 2.0.
  • Sistem operasi HarmonyOS 4.3 serta WPS Office 3.0 dipra-pasang, selain sokongan aplikasi seperti Huawei Notes, GoPaint dan Filmora.
  • Kamera belakang 50MP (dengan photoreceptive sensor) dan kamera hadapan 8MP.

Dari segi produktiviti, Huawei turut menyatakan tablet ini boleh menawarkan keupayaan “PC-level”. Ia memberikan pengalaman tersebut apabila dipadankan dengan aksesori seperti Smart Magnetic Keyboard dan tetikus Bluetooth. Selain itu, tablet ini juga serasi dengan M-Pencil generasi ketiga dan M-Pencil Pro.

Untuk M-Pencil Pro versi terkini, ia kini hadir dengan naik taraf baharu seperti:

  • kependaman ultra-rendah
  • 16,384 tahap tekanan
  • pengesanan pergerakan yang dipertingkat
  • sokongan gestur pinch dan rotate
  • butang pantas pada hujung stylus
  • tiga mata pen boleh ditukar ganti

Huawei MatePad 12 X (2026) hadir dalam dua pilihan warna iaitu Greenery dan White, dengan jualan bermula melalui pra-tempahan pada RM2,499 di Malaysia.

Pembelian awal pra-tempahan berpeluang menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM1,047 termasuk M-Pencil Pro, tetikus Bluetooth, dan WPS Office 3.0.

Tinggalkan komentar