Utama Android Huawei Huawei Mate XTs, Telefon Pintar Boleh Lipat Tiga baharu dilancarkan di China

Huawei Mate XTs, Telefon Pintar Boleh Lipat Tiga baharu dilancarkan di China

19
0

Huawei telah melancarkan telefon pintar boleh lipat tiga baharunya di China berkesinambungan dari Mate XT. Ia mengekalkan gaya lipatan berbentuk S yang sama dengan membawakan beberapa penambahbaikan terutamanya pada pemprosesan dan kamera.

Mate XTs menampilkan paparan fleksibel OLED LTPO beresolusi 2,232 x 3,184 piksel berukuran 10.2-inci apabila dibuka, 7.9-inci apabila dilipat sekali, dan 6.4-inci apabila dilipat dua kali. Skrinnya mempunyai kadar penyegaran semula 90Hz dan kecerahan puncak 1,800 nits. Selain itu, paparan ini juga menyokong penggunaan pena stylus.

Di dalamnya, telefon pintar boleh lipat ini dikuasakan oleh pemprosesan Kirin 9020, RAM 16GB dan storan sehingga 1TB. Turut disediakan bateri 5,600mAh berketebalan hanya 1.9mm dengan sokongan pengecasan berwayar 66W dan nirwayar 50W, pengecasan berbalik nirwayar 7.5W.

Perisiannya pula menggunakan HarmonyOS 5.1 disamping menawarkan sokongan ketersambungan satelit yang dihadkan penggunaan hanya di China.

Seterusnya, telefon pintar ini juga didatangkan dengan sokongan keupayaan berbilang tugas seperti Panoramic Multi-Window yang membolehkan tiga aplikasi dijalankan secara serentak. Huawei juga memperkenalkan aplikasi produktiviti seperti WPS Office, Wind Financial Terminal, dan Oriental Wealth.

Untuk pengimejan, Mate XTs dilengkapkan dengan kamera utama 50MP dengan OIS dan aperture boleh laras antara f/1.4 hingga f/4.0, kamera telefoto 12MP dengan zum optikal 5.5x dan kamera bersudut lebar 40MP. Dalam pada masa yang sama, sebuah kamera 8MP disediakan sebagai kamera hadapan untuk kegunaan seperti swafoto.

Huawei Mate XTs didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu Hitam, Merah, Putih dan Ungu. Harganya bermula dari CNY17,999 (~RM10,652) untuk konfigurasi 16GB+256GB. Buat masa ini Huawei tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai pelancarannya di luar pasaran China.

Tinggalkan komentar