Huawei Malaysia kini secara rasminya melancarkan telefon pintar boleh lipat terbaharu mereka, Huawei Mate X7, untuk pasaran tempatan.

Berkesinambungan kepada model Mate X6, peranti gaya buku (book-style foldable) ini diperkenalkan dengan harga jualan RM8,688. Ia membawa pelbagai pembaharuan termasuk rekaan modul kamera “Time-Space Gate” serta peningkatan ketahanan fizikal.

Dari segi paparan, Huawei Mate X7 dilengkapi skrin utama OLED bersaiz 8 inci dengan resolusi 2,416 × 2,210 piksel. Skrin ini menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 2,500 nits. Bagi paparan luaran, ia menggunakan panel OLED 6.49 inci dengan resolusi 2,444 × 1,080 piksel yang turut menyokong kadar segar semula 120Hz, namun dengan kecerahan puncak lebih tinggi iaitu 3,000 nits.

Huawei memberi penekanan khusus terhadap ketahanan peranti ini. Skrin luaran dilindungi oleh kaca Crystal Armour Kunlun Glass, manakala skrin dalaman menggunakan struktur komposit tiga lapisan untuk memastikan ia kekal utuh namun fleksibel. Menariknya, Mate X7 kini memiliki penarafan ketahanan debu dan air IP58 serta IP59, satu peningkatan ketara berbanding model terdahulu.

Bagi spesifikasi dalaman, peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Kirin 9030 Pro yang dipadankan dengan memori (RAM) 16GB dan storan dalaman 512GB. Sistem kuasanya disokong oleh bateri berkapasiti 5,600mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 66W dan pengecasan tanpa wayar 50W. Peranti ini turut menyokong sambungan terkini seperti WiFi 7, 5G, Bluetooth 6.0, dan NFC.

Bahagian fotografi Mate X7 menampilkan sensor utama 50MP dengan bukaan lensa boleh laras (variable aperture) f/1.49-f/4.0. Ia turut dibantu oleh lensa telefoto 50MP dan lensa ultra-lebar 40MP. Untuk swafoto, kedua-dua kamera hadapan (luar dan dalam) menggunakan sensor 8MP.

Spesifikasi Utama Huawei Mate X7

  • Paparan Utama: 8-inci OLED, 120Hz, 2500 nits
  • Paparan Luar: 6.49-inci OLED, 120Hz, 3000 nits (Crystal Armour Kunlun Glass)
  • Cip Pemproses: Kirin 9030 Pro
  • Memori & Storan: 16GB RAM + 512GB
  • Kamera Belakang: 50MP Utama (Bukaan Laras) + 50MP Telefoto + 40MP Ultra-Lebar
  • Bateri: 5,600mAh (Pengecasan 66W Berwayar / 50W Tanpa Wayar)
  • Ketahanan: IP58 dan IP59

Huawei Mate X7 kini boleh dipra-tempah dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Brocade White, Nebula Red, dan Black. Pembeli yang membuat pra-tempahan berpeluang menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM7,597, termasuk Huawei Watch 5, MatePad 11.5, perlindungan skrin Huawei Care+, serta rebat tukar beli (trade-in).

Orang ramai boleh mendapatkan peranti ini menerusi kedai fizikal Huawei serta platform dalam talian rasmi jenama tersebut.

Selain telefon pintar ini, Huawei turut memperkenalkan peranti boleh pakai baharu termasuk FreeClip 2, Watch Ultimate Design, dan Honma x Huawei Watch GT 6 Pro.

Tinggalkan komentar