Huawei baru-baru ini telah melancarkan FreeBuds 3i, kemaskini terbaru untuk putik telinga nirwayar generasi terkininya di Eropah pada 6 Mei 2020.
Apa yang membezakannya dengan keluaran terdahulu adalah ciri pembatalan hingar aktif (active noise cancellation, ANC) selain beberapa pengubahsuaian dalaman.
FreeBuds 3i menampilkan sistem 3 mikrofon yang mengandungi dua mikrofon yang dihalakan keluar, dan satu lagi dihalakan ke sebelah dalam. Ini seterusnya meningkatkan kualiti suara apabila melakukan percakapan secara bebas tangan atau membuat panggilan video. Selain itu, sistem ANC juga mampu menapis hingar sehingga 32dB dan peranti ini juga mempunyai kerintangan air IPX4.
Dari segi tempoh penggunaan baterinya pula, Huawei mendakwa FreeBuds 3i mampu bertahan sehingga 3.5 jam pada sekali cas untuk mendengar muzik dan 2.5 jam untuk panggilan. Putik telinga ini juga mampu bertahan sehingga tambahan lagi 14.5 jam menerusi bekas mengecasnya.
Huawei turut menambah putik telinga ini juga mampu dicaskan sepenuhnya dalam tempoh satu jam melalui bekasnya. Untuk bekasnya pula, ia mengambil masa lebih dari satu jam untuk memenuhkan kapasiti baterinya.
Huawei FreeBuds 3i boleh didapati di dalam pilihan warna Putih Seramik dan Hitam Karbon dengan harga disarankan pada EUR89.99 (~RM420). Bersama-sama bekas mengecasnya, putik telinga ini juga hadir dengan 4 saiz penghujung silikon dan pemacu dinamik 10mm. Huawei masih belum membuat pengumuman sama ada akan melancarkan peranti ini ke luar dari pasaran Eropah.













