Bersempena dengan acara pameran Mobile World Congress (MWC) 2026, HONOR telah mencuri tumpuan dengan mempamerkan ‘Robot Phone’.
Telefon pintar unik ini menonjolkan inovasi sistem kamera gimbal mekanikal 200MP yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) termaju.
Peranti ini pada asasnya merupakan sebuah telefon pintar yang dilengkapkan dengan sistem kamera gimbal. Secara amnya, gimbal adalah sebuah alat penstabil mekanikal untuk mengurangkan gegaran.
Reka bentuknya berfungsi seakan-akan peranti DJI Osmo Pocket 3 yang diintegrasikan terus ke dalam telefon. Ia juga mempunyai penutup khas yang akan meluncur secara automatik apabila kamera tidak digunakan. Penutup ini juga bertujuan melindungi lensa daripada kerosakan.
Menurut HONOR, gabungan sistem kamera gimbal tiga paksi dan teknologi AI terbina ini membolehkan penciptaan ‘spesies baharu’ telefon pintar. Kameranya bertindak seperti kepala robot yang mampu memberikan respons interaktif terhadap keadaan persekitaran.
Berikut adalah ciri-ciri dan spesifikasi utama HONOR Robot Phone:
- Kamera Utama 200MP ARRI: Peranti pertama yang dijana menerusi kerjasama dengan syarikat pengimejan filem berprestij, ARRI, yang membolehkan rakaman video dengan kualiti estetika sinematik.
- Sistem Gimbal 4DoF Padat: Dikuasakan oleh motor mikro binaan HONOR sendiri yang didakwa 70 peratus lebih kecil daripada model arus perdana di pasaran, menjadikannya sistem terkecil dalam industri.
- Interaksi Ekspresif Robotik: Modul kamera boleh meniru pergerakan fizikal yang ekspresif seperti mengangguk, menggeleng, dan bergerak perlahan mengikut rentak muzik.
- Penjejakan Subjek Masa Nyata (Real-time Tracking): Keupayaan fungsi AI mengekalkan fokus dengan menjejaki pergerakan individu secara automatik dan pantas.
- AI SpinShot: Fungsi sokongan AI yang membenarkan putaran kamera pada sudut 90 darjah dan 180 darjah untuk kesan transisi rakaman yang lebih lancar.
- Enjin Penstabilan AI: Membantu sistem mekanikal gimbal sedia ada untuk memastikan setiap tangkapan visual kekal stabil.
Inovasi Robot Phone ini membuktikan komitmen HONOR dalam merombak semula reka bentuk telefon pintar sedia ada.
Peranti ini disasarkan untuk pelancaran rasmi pada separuh kedua tahun 2026. Bagaimanapun, pasaran global mungkin tidak dapat merasainya. Ini kerana terdapat laporan yang menyatakan peranti pintar ini mungkin dilancarkan secara eksklusif untuk pasaran domestiknya di China sahaja.













